Rabu, 12 Ogos 2020

SPRM guna e-sukan sampaikan mesej antirasuah kepada masyarakat

Malaysiakini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi agensi penguatkuasaan pertama yang menggunakan pendekatan e-sukan (sukan elektronik) sebagai platform dalam menyampaikan mesej anti-rasuah kepada masyarakat, menerusi program ‘SPRM PUBG (player unknown battle ground) Mobile i-Challenge’.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, objektif program itu adalah untuk mendekati golongan e-komuniti, yang berumur dalam lingkungan 12 tahun hingga 60 tahun, untuk melihat mesej anti rasuah serta mendedahkan masyarakat tentang fungsi dan peranan SPRM secara dalam talian, untuk bersama-sama membanteras kegiatan rasuah.

“Kempen kesedaran tentang keburukan jenayah rasuah perlu sentiasa mengikut trend atau pembudayaan sosial semasa, agar pendekatan dan medium yang digunakan sesuai dan tidak dipandang sepi oleh masyarakat,” katanya kepada media selepas melancarkan program itu, di Putrajaya, hari ini.

Azam berkata, penganjuran program berkenaan adalah bertepatan kerana berdasarkan data SPRM, golongan tertinggi yang terlibat dalam perlakuan rasuah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, adalah mereka yang berumur antara 40 hingga 50 tahun.

Selain itu, katanya SPRM mengambil langkah proaktif mendekati golongan e-komuniti, bagi menyebar luas mesej anti-rasuah melalui dalam talian, bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 yang juga menyebabkan program secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan, dalam skala yang besar.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, program itu merupakan kerjasama antara SPRM dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia yang bertujuan mendekatkan peserta dengan SPRM secara maya, tentang aspek pencegahan rasuah.

Menurutnya, antara paparan yang akan diketengahkan adalah tagline ‘Rasuah Dihina Maruah Dibina’, setiap kali pementasan bagi setiap pemenang mengikut siri yang telah ditetapkan logo SPRM, sepanjang perlawanan diadakan.

Pemenang setiap siri juga akan dianugerahkan bintang berupa logo SPRM, pengulas akan memberi ulasan bagi mendominasikan skrip berkaitan larangan mengambil rasuah secara berulang kali, dan tempelan bergerak atas inisiatif yang dijalankan SPRM, sepanjang perlawanan berlangsung.

Program yang dilaksanakan secara berperingkat bermula daripada peringkat saringan pada 17 Ogos ini sehingga peringkat akhir pada 6 Sept, dijangka menarik kira-kira 1.6 juta peminat e-sukan di seluruh negara serta menawarkan jumlah keseluruhan hadiah sehingga RM9,000.-Bernama

Tiada ulasan: