Ahad, 2 Ogos 2020

Sempat tarik rambut sebelum rakan mati lemas

Oleh MASTURA SURADI

DANIEL Iskandar Abu Bakar menunjukkan foto terakhir yang dirakam bersama Muhammad Akmal Hakim Abdul Karim ketika mandi di Tasik Paya Biru, Kota
Tinggi, Johor.

KOTA TINGGI: Rakan kepada mangsa lemas di Tasik Paya Biru Felda Lok Heng Selatan, di sini menceritakan detik-detik terakhir ketika mereka cuba menyelamatkan Muhammad Akmal Hakim Abdul Karim dengan menarik rambutnya sebelum hanyut.

Daniel Iskandar Abu Bakar, 18, berkata, dia bersama Muhammad Akmal Hakim, 19, atau Bob bersama tiga rakan lain ke tasik itu pada pukul 11 pagi untuk mandi.

“Saya yang ketika itu duduk di pondok sempat berpesan kepada mereka supaya jangan seronok sangat. Tidak lama kemudian saya lihat Bob sudah terkapai-kapai meminta tolong.

“Salah seorang rakan kami menarik rambut Bob dan saya juga cuba menariknya ke tepi namun terpaksa melepaskan tangannya.

“Ketika itu Bob seolah-olah ‘ditarik’ dengan kuat dari arah bawah air,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi di sini hari ini.

Daniel Iskandar berkata, dia turun ke dalam tasik sambil dibantu rakan-rakan untuk mencari Bob namun usaha itu gagal.

Katanya, pasukan bomba dan penyelamat tiba tidak lama kemudian dan melakukan operasi mencari dan menyelamat sebelum menemukan mayat mangsa pada pukul 12.53 tengah hari.

Terdahulu, dia memberitahu, pada awalnya mereka merancang mahu mandi air terjun di Kota Tinggi tetapi mengubah rancangan pada saat-saat akhir sebelum memutuskan ke tasik tersebut.

“Kami sudah datang ke paya ini semalam dan mandi bersama-sama. Bob sangat teruja melihat air paya berwarna biru. Jadi kami ambil keputusan untuk pergi sekali lagi,” katanya.

Menurutnya, mereka yang tinggal di Puchong, Selangor tiba Kota Tinggi untuk mengunjungi rakan mereka yang menetap di Felda Lok Heng Selatan. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: