Jumaat, 14 Ogos 2020

Sanggup sewa kondominium RM60,000 sebulan

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
 
SEBAHAGIAN peralatan dirampas dalam serbuan di pusat panggilan kegiatan judi dalam talian, pelaburan forex dan Macau Scam di kondominium mewah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, malam ini. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD.

POLIS menyerbu pusat panggilan kegiatan judi dalam talian, pelaburan forex dan Macau Scam di kondominium mewah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, malam ini.

Serbuan pada 7.30 malam itu dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Sumber berkata, polis menahan 30 warga tempatan dan dua warga China berusia 17 hingga 41 tahun dipercayai pekerja sindiket berkenaan.

"Polis merampas pelbagai barangan antaranya set komputer serta telefon pintar dan sindiket ini dipercayai beroperasi selama lima bulan.

"Siasatan mendapati semua pekerja berkenaan menerima gaji antara RM2,000 hingga RM2,500 bagi mempromosikan kegiatan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket itu menjalankan aktiviti promosi perjudian, pelaburan forex dan Macau Scam yang menyasarkan warga China, Vietnam dan Hong Kong sebagai mangsa.

Menurutnya, sindiket itu sanggup melabur dengan jumlah besar apabila menyewa kediaman mewah bernilai RM60,000 sebulan itu.

Katanya, semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk proses dokumentasi.

Tiada ulasan: