Selasa, 25 Ogos 2020

RUU Covid-19: Pembangkang minta kerajaan senarai jumlah rakyat dihalau, tak mampu bayar sewa

Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) memberei contoh seorang 
seorang ibu terpaksa tinggal bersama anaknya di kampus 
Universiti Malaya (UM) selepas dihalau dari rumah sewa 
kerana tidak mempunyai pendapatan akibat Covid-19.

KUALA LUMPUR: Wakil pembangkang menggesa kerajaan menyenaraikan jumlah rakyat yang dihalau keluar dan syarikat ditutup kerana tidak mampu membayar sewa akibat Covid-19.

Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) berkata, langkah itu bagi memberi gambaran sebenar kesan Covid-19 yang menjejaskan kehidupan rakyat.

“Saya minta menteri senaraikan berapa ramai rakyat Malaysia tinggal di rumah sewa telah diusir, jumlah syarikat terpaksa tutup akibat tidak boleh bayar sewa, supaya kita boleh lihat secara jelas kesan kelewatan RUU (Rang Undang-Undang) ini dibentang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020.

Menerusi ucapannya, Fahmi memberi contoh seorang seorang ibu terpaksa tinggal bersama anaknya di kampus Universiti Malaya (UM) selepas dihalau dari rumah sewa kerana tidak mempunyai pendapatan akibat Covid-19.

Katanya, kejadian berlaku ketika kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula Mac lalu.

“RUU ini sepatutnya dibentang April lalu. Saya bagi contoh ada seorang ibu yang tinggal di kawasan Batu dihalau dari rumah kerana gagal membayar sewa kesan tidak ada pendapatan akibat Covid-19, ibu tersebut terpaksa tinggal dengan anaknya di kampus di UM, sepatutnya RUU ini dibentang ketika itu,” katanya.

Katanya, banyak lagi isu lain yang sepatutnya boleh dibincangkan bagi merungkai pihak yang terkesan ketika kerajaan melaksanakan PKP akibat Covid-19 pada Mac jika RUU tersebut dibentang lebih awal.

Kenyataan Fahmi turut disokong Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) apabila turut membangkitkan isu kehilangan kerja, pengangguran termasuk banyak syarikat terpaksa ditutup akibat Covid-19.

Sementara itu, Azizah Dun (PPBM-Beaufort) tidak menganggap RUU tersebut lewat dibentang di Parlimen kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah bertindak lebih awal dalam membantu rakyat termasuk memulih ekonomi.

“Kerajaan PH mengambil langkah proaktif, membantu rakyat dengan memberi peruntukan demi peruntukan, menerusi pakej rangangan ekonomi,” katanya.

Tiada ulasan: