Sabtu, 29 Ogos 2020

PRK Slim: PN diyakini, PH makin ditolak

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim dan Dr Rosni Adam sepakat merumuskan bahawa rakyat menunjukkan sokongan politik menerusi undi kepada gabungan yang diyakini mereka.

Mengulas kemenangan pada PRK DUN N.58 Slim, kedua-duanya mereka yang berlatarbelakang profesional dalam bidang sama iaitu doktor perubatan pergigian bersetuju bahawa Kerajaan Perikatan Nasional diterima rakyat.

Menurut Dr Azman, corak politik di Semenanjung Malaysia menunjukkan rakyat memilih calon yang didukungi suatu parti dengan asas perjuangan jelas, sekali gus bukan mudah untuk calon-calon bebas menempatkan diri.

“Mereka inginkan seorang wakil yang mampu berkhidmat dan bukannya seorang calon yang sekadar cuba-cuba nak uji populariti berselindung di sebalik bayangan parti yang belum sah lagi pun pendaftarannya.

“Ideologi politik calon perlu jelas. Tak gentleman bertanding atas calon nama Bebas, tapi pimpinan Pakatan Harapan (PH) mari kempen. Kenapa tak guna logo PH kalau betul nekad dan berani?

“Kemenangan ini ada suatu gambaran bahawa jalan sukar bakal dihadapi PH dalam PRU15 apabila mengambil kira untuk kali yang ke seterusnya calon Muafakat Nasional menang berturut-turut dalam siri PRK sebelum ini,” katanya.

Beliau turut melontarkan persoalan sama ada PH masih relevan dalam arena politik tanah air di mana perkara itu hanya akan ditentukan oleh masa terhadap nasib politik gabungan tersebut dalam arena negara.

Dr Rosni pula menegaskan bahawa kemenangan tersebut secara khusus juga menjadi sokongan rakyat kepada kerajaan memerintah hari ini iaitu Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Tagline Sejahtera dan Prihatin yang digunakan oleh kerajaan benar-benar diterjemahkn dalam bentuk tindakan dan ia diterima baik oleh rakyat,” ujarnya.

Perkara sama turut disokong seorang lagi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah yang menyifatkan bahawa rakyat juga semakin hilang kepercayaan kepada PH kerana ‘cakap tak serupa bikin’. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: