Selasa, 4 Ogos 2020

Pindaan naikkan had minimum muflis bakal dibentang di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Kerajaan berkata pindaan untuk menaikkan had minimum muflis bakal dibentang di Dewan Rakyat pada persidangan kali ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berkata kerajaan sedang berusaha untuk meminda khususnya Seksyen 51 undang-undang Insolvensi.

“Ya memang kerajaan prihatin terutama dalam masa pasca Covid-19.

“Saya tak boleh umumkan lagi, kerana ia akan dibentangkan dalam sidang ini juga,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Hannah Yeoh (PH-Segambut) yang menanyakan sama ada kerajaan akan menaikkan had minimum muflis memandangkan ramai orang akan kehilangan kerja atau tiada keupayaan bayar balik hutang dalan pasca Covid-19.

Sebelum itu, Takiyuddin berkata kerajaan prihatin terhadap kes muflis kerana berkait dengan undang-undang dan proses yang melibatkan bank.

Katanya, untuk mengatasi masalah itu, kerajaan akan terus memberi kesedaran kepada para belia untuk mengelakkan daripada muflis.

Pada 1 April lalu, Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) menawarkan 3 inisiatif bagi membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung rakyat, khususnya individu bankrap dalam mengharungi tempoh sukar ini.

Inisiatif itu selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada 23 Mac lalu.

Bahagian Dasar, Perundangan dan Komunikasi Strategik MdI dalam kenyataannya, berkata pihaknya memutuskan untuk melaksanakan inisiatif selari dengan keputusan kerajaan yang membenarkan pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada individu bankrap berumur bawah 55 tahun.

Katanya, pengeluaran itu tetap tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

Tiada ulasan: