Jumaat, 28 Ogos 2020

Peritnya ibu tunggal Islam besarkan anak

Kerajaan digesa menubuhkan sebuah agensi pengurusan nafkah 
di peringkat persekutuan bagi memastikan kanak-kanak dari 
semua agama akan menerima nafkah penjagaan pada masa 
ditetapkan. (Gambar Freepik)

PETALING JAYA: Bagi Aisyah (bukan nama sebenar), kehidupan tampak baik apabila beliau mengahwini kekasihnya pada 2013, tetapi keadaan bertukar apabila mereka memiliki anak.

Ia berubah menjadi penderaan fizikal, mental dan emosi dalam rumahtangga selama berbulan-bulan.

Kini sebagai ibu tunggal selepas bercerai pada 2017, Aisyah memberitahu FMT bahawa sukar untuk membesarkan anaknya bersendirian, susulan pembayaran nafkah bulanan daripada bekas suami tidak konsisten.

Beliau kini menunggu untuk membawa kesnya ke mahkamah syariah.“Dia (bekas suami) bagi nafkah RM200 hingga RM300, tapi cuma bila dia rasa mahu bagi. Kadang-kadang dia langsung tidak bayar sehingga 4 bulan,” kata Aisyah.

Bliau berkata, nilai itu sebenarnya tidak cukup bagi menampung kos pengasuh, lampin, susu formula, pakaian dan makanan yang keseluruhannya dianggarkan mencecah RM1,600 sebulan.

Menurut Aisyah, bekas suaminya kini bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas dan meraih pendapatan yang stabil.

Namun beliau berkata, bekas suaminya masih enggan memberi tambahan wang meskipun berulang kali beliau merayu.

“Saya sedang menfailkan kes tuntutan nafkah anak kerana situasi ini bukan sesuatu yang saya boleh bertahan untuk jangka masa panjang.

“Sebagai ibu tunggal, anda mempunyai banyak tanggungan untuk dibayar, ditambah keperluan menjaga seorang anak,” katanya.

Aisyah turut mengakui usaha membawa kes berkenaan ke mahkamah syariah memerlukan kos tinggi dan proses yang melecehkan.

Beliau perlu mengupah peguam, mengisi pelbagai borang, mendapatkan dokumen dan menunggu tarikh perbicaraan.

“Saya berharap proses itu menjadi lebih mudah kepada seorang wanita seperti saya. Kita tidak sepatutnya menunggu ibu yang terkesan (dengan keadaan) memulakannya,”katanya.

Pegawai komunikasi Sisters in Islam (SIS) Aleza Othman berkata, aduan nafkah penjagaan anak adalah salah satu isu paling membimbangkan, dengan SIS melihat peningkatan jumlah kegagalan pembayaran nafkah daripada 5% pada 2016 meningkat sehingga 20% pada 2018.

Beliau berkata, si bapa memilih untuk tidak membayar nafkah atas pelbagai alasan, seperti berdepan masalah kewangan, tidak menyedari kesan kegagalan menyediakan nafkah penjagaan anak atau merasakan tanggungjawab itu terletak di bahu isteri setelah berlaku penceraian.

Dalam satu laporan tahunan Telenesia, SIS berkata, ia menerima 307 kes berkaitan anak-anak pada 2019, termasuk 95 kes nafkah penjagaan anak dan 33 tunggakan nafkah berkenaan.

Gesa kerajaan tubuh agensi pengurusan nafkah anak

Aleza menggesa kerajaan menubuhkan sebuah agensi pengurusan nafkah anak di peringkat persekutuan bagi memastikan kanak-kanak dari semua agama akan menerima nafkah penjagaan pada masa ditetapkan, tanpa si ibu perlu berdepan pelbagai “prosedur atau kerenah birokrasi” seperti dalam sistem sedia ada.

“Kita juga mahu melihat satu sistem di mana duit pembayaran nafkah penjagaan anak wajib dipotong terus dari akaun bank si bapa,” katanya.

Sementara itu, aktivis Jaringan Rakan Ibu Tunggal Hajjar Nurhayu Zainal berkata, polisi menghukum si bapa yang gagal menyediakan nafkah ke penjara hanya kelihatan efektif ke atas suami yang tidak bekerja atau bekerja biasa.

“Terdapat banyak kes melibatkan suami yang mempunyai pendapatan tinggi dan enggan membayar nafkah, tetapi tidak dihukum penjara kerana mereka mampu mengupah peguam yang bagus.

Hajjar berkata, kerajaan sepatutnya menubuhkan satu badan bagi menyiasat dan menilai pendapatan lelaki yang bercerai bagi memastikan amaun sewajarnya dipotong terus daripada gaji mereka.

Beliau turut menggesa pengenalan polisi bagi memperkasakan ibu tunggal, seperti hak mendapatkan rumah, akses percuma melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi atau program latihan kemahiran.

Tiada ulasan: