Ahad, 2 Ogos 2020

Penentang usaha martabat Jawi lupa daratan, buta sejarah

fazleensafina


Negeri lain boleh laksana agenda perkasa Jawi seperti Pahang

BANGI – Tindakan kerajaan Pahang mewajibkan tulisan Jawi pada papan kenyataan dan premis perniagaan adalah tepat sebelum luput dan tidak dipedulikan lagi.

Menyokong perkara itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu adalah usaha untuk mengembalikan martabat tulisan Jawi sebagai salah satu teras kebudayaan negara.

Beliau berkata, banyak bangsa di dunia bukan sahaja kehilangan tulisan, malah budaya dan adat resam mereka turut mengalami nasib sama.

“Tindakan itu juga untuk mengukuhkan semula asas pembentukan negara Malaysia yang dibina atas permuafakatan Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan budaya Melayu sebagai teras kebudayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, sejarah membuktikan bahawa tulisan Jawi digunakan dalam perjanjian utama sama ada di era penjajahan mahupun sebelumnya.

Bahkan, katanya, setiap pengisytiharan Majlis Raja-Raja, surat rasmi kerajaan dan mata wang turut ditulis dalam tulisan Jawi.

Bagaimanapun, beliau berkata, tulisan berkenaan dipinggirkan sedikit demi sedikit daripada kehidupan masyarakat hari ini.

Tambahan pula, pihaknya bimbang akan penyata Khir Johari sekitar 1960-an, yang memansuhkan penggunaan tulisan Jawi dalam sistem pendidikan negara.

“Mereka yang menentang usaha ini adalah golongan yang lupa daratan dan buta sejarah pembentukan negara.

“PAS turut meminta supaya semua negeri melaksanakan agenda pemerkasaan tulisan Jawi seperti Pahang bermula di papan tanda premis dan jalan,” tegasnya.

Kerajaan negeri Pahang memutuskan bahawa semua papan tanda di jalan raya dan premis perniagaan perlu menyertakan tulisan Jawi dengan saiz yang sama dengan tulisan rumi.

Dasar itu dikuat kuasakan sejak 1 Januari 2020 dan tindakan akan dikenakan kepada premis yang tidak berbuat demikian.

Penggunaan tulisan jawi itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang supaya tulisan berkenaan diperkasakan di negeri berkenaaan.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras DAP, Chow Yu Hui dilapor memfailkan permohonan untuk mahkamah menyemak semula arahan yang dikeluarkan kerajaan Pahang dan pihak berkuasa tempatan.

Memetik laporan portal liberal MalaysiaKini, Yu Hui mendakwa, kerajaan Pahang dan kerajaan tempatan tidak harus memaksa orang ramai, terutama pemilik perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana pihak untuk menyertakan tulisan Jawi di papan tanda mereka.

“Ini menafikan kebebasan mereka untuk membuat pilihan. Setiap pihak ada khalayak sasaran sendiri.

“Misalnya, pelanggan di restoran Cina atau kedai barangan agama Buddha/Taoisme adalah orang bukan Melayu yang tidak boleh membaca Jawi. Jadi apa perlunya menyertakan tulisannya (di papan tanda)?” soalnya

Tiada ulasan: