Khamis, 27 Ogos 2020

Pemuzik rayu sektor hiburan dibuka semula, doktor tidak setuju

Persatuan Karyawan Malaysia berkata, lanjutan PKPP akan 
memberi tamparan ke atas mereka yang terlibat dalam industri 
hiburan.

PETALING JAYA: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) mendesak kerajaan supaya “menunjukkan belas kasihan” dan membenarkan industri hiburan dibuka semula sekiranya perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dilanjutkan lagi selepas 31 Ogos ini.

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez berkata, pemuzik negara amat terkesan dengan sekatan pandemik itu, selain ramai yang tidak bekerja sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac.

Kekurangan pendapatan memaksa pemuzik tertentu menjual alat muzik mereka untuk mengumpul wang, sementara ada juga yang dihalau dari rumah mereka, kata Fernandez.

“Sebarang lanjutan (PKPP) pada masa ini akan menjadi tamparan hebat bagi industri kerana banyak kelab yang berpotensi menggaji pemuzik ditutup, dan banyak lagi yang tiada pilihan melainkan melakukan perkara yang sama,” katanya kepada FMT.

Katanya, beberapa pemuzik menceburkan diri dalam perniagaan lain, seperti menjual makanan sebagai sumber pendapatan sementara, tetapi hanya sedikit pendapatan diperolehi berbanding pendapatan mereka sebelum PKP.

Fernandez berkata, penghibur harus diberi kelonggaran untuk membuat persembahan di restoran atau premis lain yang dibenarkan beroperasi jika PKPP dilanjutkan.

Beliau berkata, ini boleh dilakukan dengan selamat mengikut SOP, seperti melaksanakan langkah jarak fizikal dan pembasmian kuman ke atas semua peralatan, terutama mikrofon.

“Ketika negara lain kembali ke rutin normal, sangat menyedihkan apabila sektor ini tidak dibenarkan untuk beroperasi semula.

“Kami mohon kepada pihak berkuasa. Minta simpati kepada para pemuzik dan pemilik premis. Pastikan mereka mematuhi SOP dengan tegas dan mereka akan sambut baik untuk beri kerjasama kepada kerajaan.”

Kumpulan perubatan bagaimanapun berpendapat, PKPP akan dilanjutkan memandangkan berlaku peningkatan kes Covid-19 yang diimport serta pengesanan kluster baru, yang bermaksud sekatan tertentu mesti diteruskan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr N Ganabaskaran berkata, laporan harian orang yang ditahan kerana ingkar PKPP adalah bukti bahawa negara ini belum bersedia untuk melonggarkan sekatan pergerakan.

“Kerajaan seharusnya tidak perlu terburu-buru untuk menamatkan sekatan dan membuka lebih banyak sektor. Keselamatan mesti diutamakan.

“Sekatan semasa perlu dikekalkan. Pantau perkembangan dan longgarkan sekatan hanya apabila tiada peningkatan ketara (kes jangkitan) yang konsisten,” katanya.

Ganabaskaran berkata, indikasi yang tepat untuk melonggarkan sekatan adalah jika kes harian turun menjadi sifar dan kekal selama beberapa minggu.

Dalam pada itu, beliau juga menekankan bahawa jarak fizikal, pemakaian pelitup muka dan mengamalkan kebersihan diri adalah langkah penting yang mesti diteruskan sehingga wabak itu diumumkan berakhir di peringkat global.

“MMA memerhatikan bahawa penguatkuasaan yang konsisten diperlukan atau pematuhan akan menurun. Ini akan mencetuskan kluster baru dengan mudah.

“Perlu diingatkan bahawa seorang sahaja boleh menyebabkan seluruh negara berada dalam perintah berkurung. Kita perlu berhati-hati dengan risiko ini, ” katanya.

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, lanjutan PKPP adalah penyelesaian terbaik untuk mengekang penyebaran virus dan menggesa masyarakat untuk kekal patuh dengan SOP.

Ketua pegawai eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib, memberitahu FMT bahawa mereka menjangkakan PKPP akan dilanjutkan sehingga Disember.

“Melihatkan keadaan di rantau ini dan di seluruh dunia, lanjutan PKPP adalah masuk akal untuk mengekalkan kebolehan dan pencapaian yang kita harungi selama ini.

“Sehingga vaksin yang diluluskan dan boleh dicapai dikembangkan dan latihan seluruh negara dilakukan untuk memberi vaksin sebanyak mungkin kepada populasi, kita perlu jangkakan sejumlah kes jangkitan baru dalam masyarakat,” katanya.

Tiada ulasan: