Sabtu, 1 Ogos 2020

Pelitup muka: Jangan panik, stok di Lazada,

Platform e-dagang utama di Malaysia, Shopee dan Lazada memberi jaminan bahawa bekalan pelitup muka adalah mencukupi, justeru, tidak perlu membuat pembelian panik menjelang kewajipan memakai pelitup muka di tempat-tempat awam mulai 1 Ogos 2020.

Menurut Shopee dan Lazada, wujud permintaan mendadak bagi pelitup muka sejak 23 Julai 2020 apabila kerajaan mengumumkan kewajipan memakainya di tempat-tempat awam dan pengangkutan awam susulan peningkatan kes COVID-19 dan kurangnya pematuhan terhadap prosedur operasi standard dalam kalangan orang awam.

Bercakap kepada Bernama, Pengarah Urusan Serantau, Ian Ho berkata platform itu menyaksikan lonjakan permintaan pelitup muka sebanyak 65 peratus berbanding sehari sebelum pengumuman itu dibuat.

Malah, beliau berkata wujud peningkatan permintaan sebanyak 40 peratus dari minggu ke minggu bagi pelitup muka dan pelindung muka kanak-kanak sejak pengumuman sekolah akan dibuka pada 1 Julai 2020.

Selain itu, platform e-dagang utama di Malaysia, Lazada Malaysia dalam satu e-mel memaklumkan pembelian purata harian bagi pelitup muka telah melonjak sehingga tiga kali ganda sejak minggu lepas.

“Sekiranya pengguna mencari barangan di Shopee, mereka boleh melihat ramai penjual menawarkan pelitup muka dengan harga berpatutan. Ketika ini, pembeli di platform kami menawarkan sekotak mengandungi 50 helai pelitup muka pembedahan tiga lapisan di bawah harga siling borong yang terkawal sebanyak RM72.50 (RM1.45 x 50 helai).

“Pengguna juga boleh mendapatkan pelitup muka serendah RM10.90 semasa ‘Shocking Sale,’ kata Ho.

Shopee dan Lazada bekerjasama rapat dengan pengeluar, farmasi, pengedar serta penjual untuk memastikan akses dalam talian yang mudah digunakan bagi pembelian pelitup muka dewasa dan kanak-kanak serta pelindung muka di negara ini.

Mereka turut mengutamakan perlindungan dan keselamatan pelanggan dengan meletakkan dasar dan langkah yang ketat bagi memastikan penjual mematuhi peraturan dan mengekalkan harga yang berpatutan iaitu peraturan yang telah ditetapkan sejak pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Selain itu, Ho berkata bagi mematuhi pengiktirafan produk daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di Malaysia berdasarkan Akta Peranti Perubatan, Shopee berkata ia menggalakkan penjual menjual pelitup muka yang mematuhi syarat MDA.

“Kami turut mempunyai dasar penyenaraian yang ketat  (https://shopee.com.my/docs/3598) dan hanya membenarkan penjualan produk dan perkhidmatan mengikut undang-undang Malaysia dan pelbagai organisasi kerajaan termasuk Kementerian Kesihatan.

“Sehubungan itu, mana-mana produk yang tidak mematuhi undang-undang tempatan dan dasar penyenaraian akan dikeluarkan oleh pasukan penyenaraian kami yang menyemak dan memilih produk bagi memastikan pematuhan itu,” katanya.

Ho berkata walaupun tiada kekurangan bekalan, Shopee mengambil langkah bagi memastikan bekalan yang mencukupi kepada semua pihak dengan mengehadkan jumlah kotak pembelian.

“Bagi pelitup muka yang dijual di Shopee Mart, kami akan melaksanakan langkah tambahan dengan mengehadkan jumlah pembelian iaitu dua kotak (50 helai sekotak) bagi setiap pengguna untuk setiap pesanan semasa ‘Shocking Sale’,” katanya.

Selain itu, Lazada berkata ia akan terus menilai situasi terbabit dan memastikan bekalan yang mencukupi.

“Kami komited untuk mengekalkan bekalan pelitup muka dan keperluan harian lain yang berkaitan di platform kami bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia menerusi ekosistem jenama, penjual dan rakan kongsi kami yang luas,” katanya.

Menurut syarikat itu, walaupun negara mengalami kekurangan pelitup muka pada awal pelaksanaan PKP, Lazada Malaysia menjadi pasaran e-dagang pertama tempatan yang menambah semula bekalan pelitup muka dan membekalkannya kepada masyarakat secara harian.

Lazada turut meminta masyarakat melaporkan kepada pasukan khidmat pelanggan Lazada sekiranya mereka menemui pelitup muka yang dijual pada harga terlalu mahal ketika membeli-belah di platform itu untuk siasatan lanjut menerusi pautan: https://lzd.co/ReportFaceMask. – BERNAMA

Tiada ulasan: