Isnin, 3 Ogos 2020

Pakar: Pengikut mahu pulang ke tanah air selepas tertipu kehidupan Islamik IS

Pakar Kajian Strategik dan Anti-keganasan Universiti Malaysia Perlis Mizan
Mohammad Aslam berkata, usaha mengekang rakyat daripada terbabit sebarang
bentuk kumpulan dan aktiviti keganasan perlu berterusan.

PETALING JAYA: Menyedari tertipu dengan kehidupan Islamik perjuangan IS menyebabkan rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan gerakan ekstrem itu membuat keputusan pulang ke tanah air.

Pakar Kajian Strategik dan Anti-keganasan Universiti Malaysia Perlis, Mizan Mohammad Aslam berkata, apa yang digambarkan ahli kumpulan itu sebelum ini di media sosial sehingga mempengaruhi mereka juga hanyalah fatamorgana.

“Tetapi, sebenarnya kehidupan ‘Islamik’ IS adalah penipuan semata-mata. Malah, tekanan semakin kuat untuk mereka pulang selepas menyesali perbuatan itu dengan kekalahan di kubu terakhir IS pada Mac 2019.

“Mereka juga tidak mempunyai sumber pendapatan untuk menampung kehidupan kerana sebelum ini menerima gaji daripada kerajaan IS. Mereka mengalami kesusahan hidup yang teruk, menderita dengan kehidupan yang tiada serba-serbi termasuk air, elektrik dan sebagainya,” katanya kepada FMT mengulas keputusan rakyat Malaysia yang menyertai gerakan itu mula kembali ke tanah air.

Mizan yang juga ahli panel pakar deradikalisasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, kumpulan terbabit turut mengalami tekanan emosi sehingga ada yang mahu segera mati kerana menganggap diri tidak berguna selepas terjebak aktiviti keganasan itu.

“Mereka mengalami tekanan emosi yang teruk sehingga menyesali, menangis dan ada yang mahu segera mati. Maka mereka memohon untuk balik ke Malaysia dengan segera.

“Di sana juga, mereka gagal menempatkan anak-anak di sekolah yang mampu memberikan pendidikan terbaik buat waris mereka,” katanya.

Rakyat perlu terima kepulangan

Mizan berkata, rakyat juga perlu menerima kepulangan mereka ke tanah air, selepas menjalani proses tindakan undang-undang dan terbukti menyesali perbuatan mereka serta berikrar tidak mahu mengulanginya.

“Kita setuju menerima mereka kerana mereka adalah rakyat kita. Jika Eropah yang bukan negara Islam pun menerima semula rakyat mereka, apatah lagi Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

“Kelompok ini mesti diberi peluang ke-2 untuk membina semula kehidupan di tanah tumpah darah mereka. Sokongan yang sistematik perlu diberikan oleh kerajaan untuk menyokong emosi dan sosio-ekonomi mereka,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan perlu dilakukan bagi memastikan bekas rakan IS mereka tidak mempengaruhi mereka kembali menyertai kumpulan pengganas itu.

“Mereka perlu dibantu dengan mental dan pendapatan untuk menjalani kehidupan baru. Pengisian kehidupan mereka perlu supaya tidak diisi rakan lama seperjuangan mereka. Malah, ajaran Islam yang melampau juga perlu dijauhi, termasuk pemikiran ekstrem bawaan Salafi-Wahhabi-Takfiri.

“Mereka juga boleh dijadikan ejen deradikalisasi membantu kerajaan untuk program pemulihan.”

Katanya, usaha mengekang rakyat daripada terbabit sebarang bentuk kumpulan dan aktiviti keganasan perlu berterusan.

“Berperang dengan ideologi terorisme ini adalah peperangan yang lama dan berpanjangan,” katanya.

KDN sebelum ini memaklumkan 16 rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan militan IS pulang ke tanah air.

Seramai 57 rakyat Malaysia yang menyertai IS masih berada di Iraq dan Syria, dengan 40 daripadanya memohon untuk pulang.

“Yang sudah pulang 16 orang, 12 dewasa dan 4 kanak-kanak. Sembilan dijatuhkan hukuman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan 3 lagi di bawah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota),” kata Mizan sambil memaklumkan anak-anak mereka diserahkan kepada ahli keluarga.

Tiada ulasan: