Isnin, 31 Ogos 2020

Orang Asli Temiar menabung sambut merdeka

Sambutan hari ini disertai hampir keseluruhan penduduk Orang 
Asli suku Temiar di Kampung Sendrop, Pos Broke, Gua Musang 
yang bersama menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh 
semangat. (Gambar Bernama)

GUA MUSANG: Bagi memastikan sambutan Hari Kebangsaan yang dirai saban tahun berjalan lancar, penduduk Orang Asli suku Temiar di Kampung Sendrop, Pos Broke mengambil inisiatif menabung sejak 2 bulan lalu dan berjaya mengumpulkan RM300.

Wang itu dimanfaatkan hari ini dengan “kenduri Hari Kebangsaan” yang dihadiri kira-kira 500 penduduk kampung itu.

Penduduk Sakinah Anjang, 53 berkata kaum wanita bergotong-royong sejak semalam bagi menyediakan jamuan untuk dinikmati penduduk hari ini.

“Sambutan hari ini turut disertai generasi muda kampung supaya mereka dapat merasai nikmat merdeka hasil pengorbanan warga terdahulu.

“Sekurang-kurangnya apabila mereka memahami erti kemerdekaan ini, dapat pula mewariskannya kepada generasi akan datang dan lebih bermakna lagi (sambutan) diadakan setiap tahun walaupun tinggal jauh di pedalaman (agar) semangat merdeka terpahat dalam diri dan dapat dirasai mereka selamanya,” katanya ketika ditemui.

Wakil generasi muda Alui Abong, 23, mengakui sedar tidak mudah untuk rakyat, khususnya Orang Asli, menikmati keamanan yang ada sekarang tanpa perjuangan pemimpin terdahulu.

“Sebagai generasi baharu, kami amat memahami kesusahan orang terdahulu dalam usaha memerdekakan (negara) dan mengekalkan kemerdekaan, justeru menjadi tugas kami generasi terkini memastikan kemerdekaan tanah air tercinta ini,” katanya.

Menurut penghulu kampung itu Andol Busu, sambutan hari ini disertai hampir keseluruhan penduduk yang bersama menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh semangat.

Tiada ulasan: