Isnin, 3 Ogos 2020

Melayu wajib pertahan Ketuanan Melayu

putra-681x454
Parti Putra dilahirkan untuk menjaga dan mempertahankan hak orang Melayu.

JIKA anda seorang Melayu adalah wajib mempertahankan Ketuanan Melayu. Hakikat dan konsep Ketuanan Melayu perlu dilihat dari perspektif lebih luas, bukan hanya dilihat dari sudut yang sempit.

Perlu dilihat dalam konteks asal usul sesebuah negara termasuk kedudukan geografi di permukaan bumi, bangsa atau kaum, bahasa, budaya, kepercayaan, sifat umum (fizikal dan nilai) serta sifat umum yang lain.

Allah menjadikan planet bumi Timur dan Barat. Dibahagikan kepada beberapa benua yang dihuni oleh bangsa dan kaum asal.

Contohnya, negara China dihuni oleh kaum China, India dan kaum India, Arab dan bangsa Arab, Eropah dan bangsa Eropah, manakala Kepulauan Nusantara didiami oleh Melayu Nusantara yang terdiri dari pelbagai ektnik kaum. Ada Jawa, Boyan, Bugis, Minang, Pattani, Jawi Peranakan, bumiputera Sabah dan Sarawak serta lain-lain lagi.

Khususnya Tanah Melayu (Malaya) mengikut sejarah asal didiami oleh orang Melayu. Walaupun terdapat penghijrahan dari Indonesia, asalnya adalah dari Kepulauan Melayu Nusantara.

Kaum pendatang secara beramai-ramai dibawa masuk oleh Inggeris dalam abad ke-19 dan awal abad 20 an dari China dan India untuk tujuan perburuhan perlombongan dan perladangan.

Pada awalnya, kaum pendatang hanya untuk “menumpang kerja” dan kesetiaan mereka masih di negara asal. Itu tertulis dalam sejarah Tanah Melayu.

Berbalik kepada Ketuanan Melayu, Tanah Melayu diperintah oleh Raja-Raja Melayu yang asalnya dari Kesultanan Melaka dan Kesultanan Johor Riau.

Setelah campur tangan Inggeris yang menguasai pentadbiran dan sistem percukaian, Raja-Raja Melayu hanya berkuasa ke atas hal ehwal lslam dan Melayu.

Putar belit lnggeris yang kebetulan perebutan takhta dan ancaman Siam, memberi peluang kepadanya meluaskan pengaruh pentadbirannya dalam negeri-negeri Melayu.

Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan atas persetujuan Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu diwakili UMNO, wakil kaum Cina melalui MCA dan India berpartikan MIC. Mereka ini menerima dan mengiktiraf Perlembagaan serta “Kontrak Sosial” dan Kewarganegaraan diberi secara “Jus-soli” kepada kaum pendatang. Ini adalah fakta sejarah.

Tanah Melayu ketika itu berhadapan dengan keganasan komunis. Ramai yang terkorban terutama orang-orang Melayu dalam mempertahankan negara ketika itu. Keganasan komunis bukan mengorbankan nyawa, tetapi juga infrastruktur, bangunan awam dan lain-lain kemudahan.

Barisan hadapan yang mempertahankan Tanah Melayu dari ancaman komunis adalah majoriti bangsa Melayu.

Pengisian kemerdekaan di peringkat awalnya berjalan lancar. Kemelut politik bermula setelah Singapura berpisah dari Malaysia tahun 1965 dan tertubuhnya parti DAP serpihan PAP Singapura yang dipimpin oleh Lim Kit Siang. Di situ politik “perkauman” bermula.

Tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969 setelah mereka menang besar dan membuat provokasi terhadap bangsa Melayu.

Pada tahun 1970, kerajaan ketika itu menyedari perpaduan kaum sangat penting, maka Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan untuk mengimbangi kuasa ekonomi dengan penyertaan Bumiputera sebanyak 30 peratus, yang mana sehingga sekarang belum tercapai.

Pencapaian Bumiputera dalam pelbagai sektor pula masih jauh ketinggalan berbanding dengan kaum lain.

Mungkin antara punca kaum lain mempertikaikan Ketuanan Melayu kerana mereka telah berjaya menguasai ekonomi.

Kaum ini perlu sedar, diawal kemasukan di Tanah Melayu, mereka adalah miskin dan tidak kaya sebagaimana dari negara asal mereka. Melayu “tidak rasis”, sebaliknya membiarkan mereka mencari kekayaan di bumi ini tanpa sebarang halangan, malah turut memberi sokongan kaum itu berniaga.

Dibantu pula oleh pelbagai insentif dari kerajaan seperti menyediakan kemudahan, infrastrutur, kawasan industri, kemudahan perlesenan dan permit, kontrak kerajaan, insentif percukaian dan banyak lagi yang memudahkan berkembangnya ekonomi mereka.

Kestabilan politik, keamanan, keselamatan, ekonomi terbuka, kemudahan perbankan adalah kelebihan peluang mereka membina kekayaan di negara ini. Dekad akhir 80 an, 90 an, 20 an perkembangan pesat ekonomi Malaysia memberi kelebihan dalam menguasai ekonomi negara.

Mungkin kerana Melayu ketinggalan jauh penguasaan ekonomi, maka mereka mula mempertikaikan Ketuanan Melayu. Sikap rasis dan cauvinis mereka berani mempertikaikan secara terbuka perlembagaan, Bahasa Melayu, kedudukan Islam dan hak istimewa Melayu ketika Pas dan PKR bersama DAP dalam Pakatan Rakyat (PR).

Mereka lebih berani secara terang-terangan ketika DAP mendominasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22bulan. Mereka menentang tulisan Jawi hingga ke hari ini, tetapi pada masa sama, mereka sesuka hati menggunakan bahasa Cina dan Tamil pada papan tanda, iklan kekosongan, premis perniagaan dan sebagainya.

Mereka cuba mengubah fakta sejarah dalam buku teks, provokasi menghina Raja-Raja dan agama Islam. Memaksa institusi sekolah menerima budaya mereka menghiasi dengan tanglung dan ponggal dengan alasan perpaduan, tanpa menghormati sensitiviti orang lain.

Orang Melayu mempertahankan Ketuanan Melayu adalah untuk menjaga kepentingan Melayu dan kedudukan lslam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan yang telah dipersetujui sebagai salah satu syarat untuk mendapat kemerdekaan.

Salahkah dari segi agama, undang-undang dan moral jika Melayu mempertahankan hak mereka menurut Perlembagaan? Rasiskah Melayu? Jika Melayu rasis tidak mungkin boleh berkongsi ekonomi, kuasa politik dan menjaga keselamatan serta keamanan untuk kesejahteraan.

Disebabkan pengorbanan orang Melayu dan toleransi yang diberikan kepada kaum pendatang minoriti tidak mungkin terdapat bangsa lain di dunia.

Dari aspek keagamaan, mereka bebas mengamalkan dan dijamin perlembagaan. Jika Melayu rasis, mana mungkin terdapat patung Buddha terbesar di Kelantan, tetapi dan DAP tetap menganggap Pas adalah Taliban.

Zalimkah orang Melayu terhadap kaum minoriti pendatang? Bolehkah kuil dan patung Hindu terbesar di dunia dibina Gombak, Selangor jika Melayu rasis? Sekarang kuil dan tokong tumbuh bagai cendawan. Tiada pun halangan dari orang Melayu. Cuma kuil yang dibina secara tidak sah di atas tanah orang lain sahaja tidak dibenarkan.

Kaum minoriti Cina dan India warganegara kelas dua di Malaysia hanya persepsi mereka sahaja. Realitinya, mereka tinggal di rumah dan apartment mewah. Mereka mempunyai gedung perniagaan besar. Mereka monopoli setiap sektor perniagaan dan industri. Sektor peruncitan, pakaian, perkilangan, industri makanan, hardware, pelancongan, pengangkutan, perhotelan dan sebagainya.

Penguna terbesar ialah Melayu. Apakah Melayu rasis? Segala keperluan dibeli dari kedai mereka. Industri makanan halal pun bukan dikuasai Melayu.

Berbeza rasis kaum minoriti berbanding dengan “dianggap” rasis orang Melayu. Mereka rasis mempertikaikan hak Melayu, manakala Melayu dianggap rasis mempertahankan haknya tanpa “mengusik” sedikit pun hak mereka.

Ketuanan Melayu dijamin oleh Perlembagaan. Mereka yang mempertikaikan perlembagaan adalah warganegara yang mengkhianati negara, tidak mengira kaum dan tidak ada jati diri serta semangat patriotism. – MalaysiaGazette

* Penulis Nasir Othman, Ketua Penaja Putra Pulau Pinang

Tiada ulasan: