Khamis, 13 Ogos 2020

MB Selangor, PBT digesa dahului kebajikan peniaga kecil

Manzaidi Mohd Amin
MGF18062020_HUMAN-INTEREST-TINJAUAN-PASAR-MALAM_11-681x454
Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari harus peka dan mengambil berat masalah ekonomi yang dihadapi rakyat negeri itu pasca pandemik Covid-19.

Ketua Pergerakan Wirawati Putra Malaysia, Dr. Asmah Razalli berkata, ketika ini kebanyakan rakyat yang terjejas mata pencarian sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sedang berusaha untuk membina semula ekonomi mereka dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Namun, katanya, malang bagi mereka yang berniaga di sekitar Sungai Buloh, apabila penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ketika ini menjalankan penguatkuasaan ketat sehingga mengganggu golongan B40 mencari rezeki halal.

Ini ujarnya, berikutan tindahan pengasas Hot Burger Malaysia yang dikenali sebagai Asri Janggut mendedahkan berlaku aktiviti judi dan warga asing berniaga secara haram di sekitar kawasan perindustrian Sungai Buloh baru-baru ini.

“Akibatnya, MBSA dan polis menjalankan penguatkuasaan secara besar-besaran membanteras aktiviti haram itu sehingga turut terkena tempiasnya oleh peniaga kecil yang tidak berdosa.

“Kita harap Menteri Besar menyedari masalah ini. Rakyat baru nak mula berniaga, tiba-tiba aktiviti mereka terhalang oleh penguatkuasaan MBSA.

“Kita puji tindakan MBSA, tetapi pada masa sama pertimbangkan nasib rakyat B40 dan M40 yang mencari makan di situ,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Dr. Asmah, Wirawati memahami bahawa undang-undang tidak sesekali boleh diperkotak-katikkan, malah penjaja perlu memiliki lesen supaya lebih mudah untuk mendapatkan bantuan kerajaan negeri.

drasmah-824x1024
Dr. Asmah Razalli

Bagaimanapun, kerajaan negeri harus membimbing mereka, dengan menyediakan kemudahan fasiliti yang lebih baik dan memberikan mereka lesen untuk berniaga secara sah, tanpa diganggu penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berharap, PBT di Selangor memandang berat masalah itu dan meniru contoh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memudahkan urusan birokrasi dalam pemilikan lesen perniagaan kepada rakyat miskin.

“Harap PBT Selangor lebih serius membantu golongan penjaja yang teruk terjejas selepas Covid-19, dan memudahkan urusan mereka mencari sesuap nasi demi keluarga dalam  menjana lebih banyak program ekonomi, penempatan khas penjaja serta lain-lain lagi.

“Kita juga berharap, gerai peniaga kecil yang disita dikembalikan dan PBT menyediakan lokasi yang lebih spesifik dan terancang untuk mereka meneruskan kehidupan mencari rezeki melalui perniagaan kecil-kecilan.

“Wirawati bimbang jika golongan yang terjejas ini hilang punca pendapatan kali kedua selepas Covid-19, mendorong berlakunya masalah sosial serta jenayah,” ujarnya.

Kata Dr. Asmah, tidak rugi untuk kerajaan negeri dan PBT di Selangor mengambil berat permasalahan rakyat terutama dari sudut ekonomi dengan membantu mereka menjana pendapatan, kerana mereka juga turut menyumbang kepada ekonomi negara.

“Kasihani kepada peniaga kecil terutama Bumiputera. Hidup mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jangan buat mereka hidup berkelana di negara sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: