Isnin, 3 Ogos 2020

Kluster Sivagangga: Enam SJR di Kubang Pasu [METROTV]

BERNAMA

ANGGOTA polis melakukan sekatan jalan raya di Jalan Napoh-Kodiang susulan Kluster Sivagangga. FOTO Amran Hamid.
ANGGOTA polis melakukan sekatan jalan raya di Jalan Napoh-Kodiang susulan Kluster Sivagangga. FOTO Amran Hamid.

POLIS menjalankan enam sekatan jalan raya (SJR) di Kubang Pasu dalam usaha menyekat penularan kes Covid-19 yang berkait rapat dengan Kluster Sivagangga.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan P Chien Chunng Tsaur berkata, pelaksanaan SJR itu membabitkan satu sekatan di Kodiang manakala di Changlun terdapat lima SJR.

"SJR ini selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar berikutan kes Covid-19 yang berlaku di daerah ini. Pelaksanaan SJR ini juga adalah untuk membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan ujian saringan terhadap penduduk di kawasan terbabit," katanya kepada pemberita di Kubang Pasu, hari ini.

Chien berkata, ketika ini seramai 96 anggota polis ditugaskan mengawal lalu lintas di lokasi SJR itu dan kemungkinan selepas ini pihaknya akan memohon bantuan daripada agensi berkaitan lain.

"Kesemua anggota ini akan bertugas selama 24 jam bagi mengawal laluan masuk dan keluar kawasan berkenaan," katanya.

Mengulas lanjut, Chien berkata, pihaknya akan mengadakan rondaan bagi memastikan semua penduduk di kawasan terlibat mematuhi arahan terutamanya terhadap individu yang memakai gelang merah jambu bagi memastikan mereka menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah masing-masing.

"Kami tidak benarkan orang luar untuk masuk ke kawasan ini dan sesiapa yang memakai gelang 'pink' (merah jambu) sama sekali tidak boleh keluar dari rumah mereka bagi mengelak daripada berlaku penyebaran wabak ini," katanya.

Tiada ulasan: