Sabtu, 1 Ogos 2020

Kertas siasatan Rayhan Kabir akan diserah kepada peguam negara minggu depan

Tangkap layar dokumentari Al Jazeera yang memaparkan Rayhan Kabir
menunjukkan rakaman video operasi imigresen di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Polis akan menghantar kertas siasatan terhadap warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir, yang terbabit dengan penyiaran dokumentari terbitan Al Jazeera yang disyaki berniat memburukkan Malaysia, kepada Pejabat Peguam Negara.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid berkata tindakan selanjutnya akan ditentukan Pejabat Peguam Negara selepas polis mengambil keterangan Rayhan sejak 28 Julai.

“Proses keterangan daripada lelaki itu sudah selesai dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara minggu depan untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Bernama.

Rayhan ditahan di Setapak, Kuala Lumpur pada 24 Julai selepas imigresen memohon bantuan orang awam menjejaki individu itu yang muncul dalam dokumentari Al Jazeera.

Menerusi dokumentari itu, Rayhan membuat kenyataan mengenai layanan pihak berkuasa kepada pendatang tanpa izin ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Pada 25 Julai, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata lelaki itu akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.

Tiada ulasan: