Isnin, 31 Ogos 2020

Kehidupan penoreh getah yang semakin sukar

Mohamad Jantan, 67, berkata, kehidupan penoreh getah semakin 
sukar sekarang.

ALOR GAJAH: Mohamad Jantan memejamkan matanya seketika dan cuba mengingat masa paling awal beliau di sebuah ladang getah di Melaka tempat ayahnya bekerja.

“Pakcik mengikut arwah ayah menoreh getah. Masih ingat berjalan di bawah pokok besar,” kata Mohamad kepada FMT.

“Pakcik berumur 6 tahun pada masa itu.”

Beliau membantu ayahnya mengutip susu getah hampir setiap hari sehingga berumur 14 tahun dan dianggap cukup besar untuk bekerja sendiri.

“Bila pakcik besar sikit, rasa sedih tengok ayah kerja teruk.”

Mohamad mula bekerja di sebuah ladang getah berserta ribuan penoreh getah yang lain dalam industri zaman kolonial yang amat penting di Malaya ketika itu.

Industri getah di Malaysia bermula dengan penanaman benih getah yang pertama di Kuala Kangsar pada 1877. Tidak lama kemudian ia menjadi sumber hasil penting bagi Malaya.

Ketika Mohamad mula bekerja, upah yang diterimanya mencukupi untuk menampung keperluan keluarga

 

. 

Mohamad bersiap-siap untuk keluar menoreh getah.

“Pada masa itu murah dan tak perlu beli semua benda untuk beri makan keluarga. Sayur-sayuran, kulat dan lain-lain, boleh cari sendiri. Sekarang semua kena beli dan tak murah.

Zaman selepas kemeredekaan menyaksikan harga getah jatuh susulan peningkatan permintaan getah sintetik.

“Hidup susah dulu, tetapi untuk makan senang, tetapi sekarang susah,” kata Mohamad yang kini berusia 67 tahun.

“Kalau menoreh kebun 1 ekar kita boleh dapat RM20. Itu sebelum kongsi separuh dengan tuan tanah. Nak beli apa dengan RM10?”

Dengan pendapatan yang begitu kecil, Mohamad terpaksa melakukan kerja sambilan pada sebelah petang bagi menampung keperluan keluarganya.

“Saya tebang pokok, buat kapak dan baiki rumah. Saya boleh dapat lebih kurang RM30 sehari,” katanya.

Beliau berkata, penoreh getah lain sepertinya juga melakukan kerja sambilan.

Malah katanya, kerja sambilan itu kini menjadi sumber pendapatan utama mereka sementara menoreh getah bertukar menjadi pekerjaan sambilan.

Mohamad berharap kerajaan akan memajukan lagi industri getah bagi meningkatkan harganya.

Mohamad mula menoreh gerah ketika berusia 14 tahun.

Katanya, inisiatif bantuan lain boleh membantu semua penoreh getah yang mengalami kesukaran hidup sepertinya.

Dahulu industri getah merupakan majikan terbesar di negara ini, tetapi kini industri minyak sawit lebih popular walaupun menoreh getah lebih mudah dan tidak rumit, katanya dengan nada kesal.

“Saya harap harga getah akan naik. Penduduk kampung macam saya boleh lega sedikit. Kerajaan beri bantuan BR1M. Ia sedikit-sebanyak membantu kami.

“Tanpanya, saya terpaksa bekerja sepanjang hari dan malam walaupun saya sekarang tua dan sakit.”

Wajarkah Mohamad terus bergantung harap bahawa industri getah akan kembali meningkat?

Barangkali tidak, tetapi bagi pekerja uzur sepertinya yang telah menyerahkan seluruh kehidupan mereka kepada getah, mungkin hanya itulah satu-satunya harapan yang tinggal.

Tiada ulasan: