Isnin, 10 Ogos 2020

‘Jawatankuasa fokus’ bakal ditubuh bincang hal Felda

Mustapa Mohamed.

PETALING JAYA: Suatu “jawatankuasa fokus” akan ditubuhkan bagi membincangkan hal mengenai Felda “dengan lebih terperinci”, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed.

Kerajaan berharap, dengan penubuhan jawatankuasa yang dianggotai ahli Parlimen itu, beberapa perakuan dapat dilakukan dalam tempoh 2 bulan ini, seperti berkenaan hutang peneroka menerusi skim tanam semula sawit, perumahan generasi ke-2, dan pewarisan tanah.

“Mungkin saya akan berbincang dengan pengerusi Felda mengenai hal ini supaya perkara yang tidak dapat dijawab dalam Dewan Rakyat dapat diselesaikan segera,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Mustapa juga mencadangkan supaya Salim Sharif (BN-Jempol) dan Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengetuai jawatankuasa itu memandangkan mereka kerap membangkitkan isu Felda di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Salim mendesak kerajaan segera menyelesaikan isu perumahan generasi ke-2 yang terbengkalai.

“Projek perumahan generasi ke-2 anak Felda kini sudah siap 75% namun terhenti setakat itu. Kebelakangan ini, banyak kecurian berlaku di tapak pembinaan dan saya khuatir makin lama projek terbengkalai, lebih banyak peruntukan diperlukan untuk membaik pulih kerosakan,” katanya.

Tiada ulasan: