Khamis, 13 Ogos 2020

Hanya 40 peratus pendidik tunai zakat secara potongan gaji

Murnaena Muhammad Nasir
 
ABDUL Hakim Majlis berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Zakat Pendidik 2020, di Kuala Lumpur. FOTO Khairul Azhar ahmad

HANYA 40 peratus warga pendidik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menunaikan zakat pendapatan melalui potongan gaji bulanan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, pihaknya dalam usaha meningkatkan pembayar zakat dalam kalangan warga pendidik.

"Setakat ini, daripada jumlah 16,000 warga pendidik di WPKL hanya 6,500 pembayar saja yang menunaikan zakat pendapatan secara potongan gaji bulanan.

"PPZ berharap dengan kempen-kempen yang dirangka tahun ini sekurang-kurangnya dapat menarik 2,000 pembayar zakat baru," katanya ketika ditemubual di Majlis Pelancaran Kempen Zakat Pendidik 2020, di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, hadiah lumayan menanti warga pendidik WPKL yang mendaftar atau menambah amaun zakat pendapatan sepanjang Kempen Zakat Pendidik 2020 yang akan berlangsung dari 15 Ogos hingga 15 November.

"Melalui kempen berkenaan, 43 pembayar berpeluang memenangi komputer riba, telefon pintar, perkakas memasak elektronik 'airfryer', jam pintar dan pembesar suara mudah alih melalui cabutan bertuah.

"Selain itu, hadiah lumayan turut menanti sekolah dengan penyertaan potongan gaji yang tertinggi," katanya.

Abdul Hakim berkata, melalui kempen itu, PPZ berharap dapat mensasarkan dua kali ganda peningkatan bayaran zakat berbanding RM600,000 tahun lalu.

"Tahun ini diharapkan bayaran zakat meningkat RM1.5 juta dan saya menyeru warga pendidik menunaikan zakat secara potongan gaji di sekolah masing-masing.

"Ia bukan sahaja mudah, selamat malah bayaran yang dibuat akan memberi faedah kembali kepada pengurusan sekolah.

"Malah, menerusi Skim Kafalah Muzakki, apabila berlaku kematian terhadap pembayar zakat (individu) waris akan diberi sumbangan RM3,000 yang mana tidak ada pada skim-skim yang lain," katanya.

Tiada ulasan: