Sabtu, 1 Ogos 2020

Gallery Pembantu rumah ditahan disyaki dera kanak-kanak

Nurulhuda Mohd Salleh. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Polis menahan seorang pembantu rumah semalam disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun di Taman Klang Perdana, Klang Rabu lalu.

Mangsa melecur di bahagian belakang badan, punggung, dan paha apabila terkena air panas ketika wanita warga Indonesia berusia 30-an itu sedang memandikan mangsa di bilik air.

Ketua Polis Klang Utara Nurulhuda Mohd Salleh berkata, suspek wanita itu ditahan pada 1.30 pagi selepas polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada majikannya.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, nenek mangsa (pengadu) mendengar cucunya (mangsa) menangis selepas orang gajinya memandikan mangsa dengan air panas, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata berdasarkan laporan, suspek dikatakan berbuat demikian kerana tidak mahu lagi bekerja dan ingin pulang ke Indonesia.

Siasatan mendapati suspek yang mula bekerja sejak November tahun lepas itu tidak mempunyai sebarang masalah dengan majikannya sebelum ini.

“Suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, dia kini direman empat hari sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak,” katanya.

Tiada ulasan: