Ahad, 9 Ogos 2020

Exco: Lebih banyak sekolah di Kuala Sanglang mungkin ditutup

Perlis sehingga semalam mencatat 30 kes Covid-19 dengan 11 kes baru daripada 
kluster PUI Sivagangga. (Gambar Bernama)

SANGLANG: Lebih banyak sekolah di Daerah Sanglang dan kawasan berdekatan mungkin akan ditutup berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (Temco) yang dikuatkuasakan sejak malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Rozieana Ahmad berkata, semalam sebanyak 2 sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sanglang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang ditutup selama 7 hari mulai esok.

Exco pendidikan negeri Rozieana Ahmad.

“Berkemungkinan lebih banyak lagi sekolah yang terlibat (dalam kawasan Covid-19) akan ditutup,” katanya hari ini.

Rozieana yang juga Adun Pauh berkata, beliau tidak menolak kemungkinan penutupan 2 sekolah itu akan berlarutan selama 2 minggu.

Katanya, tindakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dibuat berdasarkan arahan yang diterima daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihataan Malaysia (KKM) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Semalam, kerajaan Perlis melaksanakan Temco selama 28 hari bermula 10.00 malam tadi di 2 kampung, iaitu Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul.

Perlis sehingga semalam mencatat 30 kes Covid-19 dengan 11 kes baru daripada kluster pesakit bawah siasatan (PUI) Sivagangga.

Tiada ulasan: