Rabu, 26 Ogos 2020

Dua lelaki pecah tabung masjid diburu

Rosli Ilham
 
Rakaman Kamera Litar Tertutup CCTV menunjukkan suspek sedang mencuri tabung masjid. FOTO ROSLI ILHAM

DUA lelaki diburu polis selepas aktif memecah tabung derma di tiga masjid di daerah Kemaman, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, masjid terbabit ialah Masjid Sultan Ahmad di Bandar Chukai , Masjid Labohan Kerteh dan Masjid Kampung Gelugor Bandar Kerteh.

Menurutnya, kejadian kecurian yang berlaku ke atas semua masjid itu membabitkan kerugian kira-kira RM2, 000.

"Dalam kejadian itu, kedua-dua suspek berusia 20-an itu turut melarikan sebuah televisyen di Masjid Jamek Kampung Gelugor .

"Mereka menaiki kereta Perodua Viva yang menggunakan nombor pendaftaran palsu, "katanya hari ini.

Katanya, modus operandi suspek ialah memasuki perkarangan masjid sekitar awal pagi ketika ketiadaan jemaah.

"Seorang daripada suspek memasuki ruang jemaah yang menempatkan tabung derma dan memecahkannya, manakala seorang lagi suspek menunggu di perkarangan masjid.

"Polis percaya kedua-dua suspek adalah penduduk tempatan dan aktif melakukan aktiviti memecah tabung masjid di sekitar Kemaman," katanya.

Hanyan berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

"Orang ramai diminta membantu polis dengan menyalurkan maklumat ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman atau menghubungi bilik gerakan IPD di talian 09 859 2222, "katanya.

Tiada ulasan: