Selasa, 11 Ogos 2020

Dr. Vida buat ‘comeback’

 Oleh Mohammad Rozaidi Bin Zulkifli

KUALA LUMPUR: Walaupun percubaan pertamanya melibatkan diri dengan bola sepak tidak berjalan baik, namun jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman tetap menawarkan dirinya kepada mana-mana pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang mencari pemilik.

Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr. Vida menegaskan, beliau berminat memiliki kelab bola sepak dan pengalaman menjadi penaja utama Kelantan sebelum ini akan digunakan untuk menguruskan sebuah pasukan.

Menurut pengasas Vida Beauty Sdn. Bhd. itu, beliau akan lebih berhati-hati membuat pelaburan dalam bola sepak tempatan tetapi tidak pernah takut untuk mengeluarkan dana.

“Saya masih berminat untuk membantu bola sepak negara dan beli mana-mana pasukan, tiada istilah serik kerana sebagai ahli perniagaan ia tidak harus ada dalam diri kalau hendak berjaya.

“Kalau boleh…persatuan sendiri datang dan jumpa saya jika mereka berminat untuk bekerjasama.

“Kalau syarat yang ditetapkan situasi ‘menang-menang’ maka saya tidak keberatan untuk mengeluarkan dana.

“Semua tahu, industri bola sepak negara tidak seperti Eropah tetapi saya yakin ­seandainya semua pihak bermula dari bawah (penyokong) hingga atasan bekerjasama, tidak mustahil bola sepak negara mampu berada di tahap lebih baik.

“Kalau masih di takuk lama, susah mahu menarik individu lain membuat pelaburan dalam Liga Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada 2016, Dr. Vida menerusi produknya Pamoga Qu Puteh memeterai perjanjian dua tahun bersama pasukan Kelantan bernilai RM16 juta.

Bagaimanapun, penajaan tidak berjalan baik dan diwarnai kontroversi sebelum beliau berundur pada 2017.

Tiada ulasan: