Selasa, 4 Ogos 2020

Dasar baru pekerja asing ‘bunuh’ ekonomi, kata MTUC

Dasar baru kerajaan mengehadkan pekerja asing kepada 3 sektor.

PETALING JAYA: Mengehadkan penggunaan pekerja asing hanya kepada 3 sektor akan “membunuh” ekonomi, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)

Setiausaha Agung J Solomon berkata, realitinya ekonomi Malaysia amat bergantung kepada buruh asing dan mengehadkan mereka untuk bekerja hanya dalam 3 sektor saja nampak seperti tindakan yang akan menjejaskan ekonomi.

Beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan semula dasar itu.

Solomon berkata, kerajaan perlu melibatkan Majlis Penasihat Tenaga Kerja Nasional (NLAC) untuk mencari jalan penyelesaian mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing dan menangani peningkatan kadar pengangguran tempatan.

Katanya, MTUC dan Persekutuan Majikan Malaysia tidak diajak berunding sebelum kerajaan memutuskan untuk mengekang penggunaan buruh asing, dan mengecualikan NLAC adalah pelanggaran konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Mengandaikan penduduk tempatan sedia bekerja dalam sektor 3D (kotor, sukar dan bahaya) dengan syarat dan terma sama dengan buruh asing, tidak mengetahui kos sara hidup yang tinggi sekarang dan garis kemiskinan disemak semula oleh kerajaan, katanya.

Berdasarkan statistik lebih 800,000 menganggur dalam tempoh 5 bulan tahun ini, Solomon berkata ramai rakyat tetap seperti itu kerana kerajaan gagal menyeru majikan untuk menawarkan gaji dan faedah lebih baik pada pekerjaan yang secara tradisionalnya dilakukan buruh asing.

Ramai pekerja asing yang didokumentasikan dibayar gaji minimum, manakala faedah seperti hari rehat wajib, kerja lebih masa atau faedah perubatan jarang diberi dan tidak mencukupi, katanya.

Sementara itu, beliau berkata lebih teruk apabila mereka yang tidak mempunyai dokumen dan digaji secara haram, majikan tidak bertanggungjawab membayar kurang RM1,000 setiap bulan.

“Kementerian Sumber Manusia sekarang terpaksa menangani masalah buruh yang semakin meningkat dihadapi oleh majikan di sektor utama, termasuk perusahaan kecil dan sederhana pada ketika mereka berusaha keras untuk pulih daripada sekatan yang dikenakan untuk menangani Covid-19,” katanya.

Minggu lalu, kementerian menjelaskan pembekuan pengambilan pekerja asing baharu akan kekal hingga akhir tahun ini dan mereka hanya akan diambil bekerja di sektor perladangan, pertanian, dan pembinaan.

Ketika ini terdapat lebih 2 juta pekerja asing berdaftar dengan kementerian, dengan 700,000 di sektor pembuatan dan 309,000 di sektor perkhidmatan.

Pekerja yang tidak berdaftar menyumbang kira-kira 1 juta lagi di sektor ini.

Tiada ulasan: