Ahad, 30 Ogos 2020

Cadangan elaun PJM secara bulanan

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
ISMAIL SABRI YAAKOB

JOHOR BAHRU: Kementerian Pertahanan bercadang memberikan Elaun Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai elaun bulanan antara RM300 hingga RM350 bagi menghargai jasa veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu bagaimanapun masih lagi di peringkat cadangan.

Beliau berkata, buat masa ini penerima PJM hanya menerima pingat dan sijil penghargaan daripada kerajaan.

“Pada masa ini lebih 121,000 bekas anggota ATM layak menerima PJM dan daripada jumlah itu seramai 29,000 telah menerima anugerah ini sejak dilaksanakan.

“Setakat ini mereka hanya terima pingat tetapi tiada elaun bulanan untuk sara hidup, kita cuba untuk memohon kerajaan untuk elaun secara bulanan antara RM300 hingga RM350,” katanya selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) Peringkat Negeri Johor di Ulu Tiram di sini hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 350 bekas anggota ATM menerima pingat PJM.

Ismail Sabri berkata, pada 11 Oktober tahun lalu semasa Pembentangan Belanjawan 2020, PJM diberikan sekali bayaran ‘one off’ sebanyak RM500.

Katanya, bagi fasa pertama dan kedua, pembayaran sudah dibuat kepada 70,000 veteran ATM melibatkan mereka yang berpencen dan tidak berpencen dengan peruntukan RM35 juta.

“Pembayaran untuk fasa ketiga dan keempat pula kita akan buat pembayaran selepas peruntukan diterima Kementerian Pertahanan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: