Khamis, 13 Ogos 2020

Asrama terbakar, 10 murid selamat

Mohd Roji Kawi

Asrama SK Ulu Yong, Kapit yang menempatkan 10 pelajar lelaki, musnah dalam kebakaran, malam tadi. FOTO IHSAN BOMBA

SEPULUH murid lelaki Sekolah Kebangsaan Ulu Yong, di Kapit, menempuh detik mencemaskan apabila asrama kediaman mereka musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Sebuah kuaters kediaman guru yang terletak berdekatan turut musnah dalam kebakaran jam 11.30 malam itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 11.39 malam.

Beliau berkata, 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit diketuai Penolong Penguasa Bomba Erwandy Tugor bergegas ke lokasi yang terletak 22 kilometer dari balai itu.

"Setibanya di lokasi, didapati api sudah memusnahkan satu blok asrama dan sebuah kediaman guru, manakala dua lagi kuaters guru yang hanya terletak kira-kira tiga meter dari asrama yang terbakar itu berjaya diselamatkan," katanya.

Difahamkan, semua murid berusia antara tujuh hingga 12 tahun itu berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari bangunan yang terbakar sebaik menyedari kejadian itu.

Katanya lagi, operasi pemadaman tamat pada jam 2.40 pagi dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian itu.

Kejadian itu adalah yang kedua membabitkan asrama sekolah di negeri ini, bulan ini.

Pada 5 Ogos lalu, satu blok dua tingkat asrama lelaki Sekolah Kebangsaan Sebauh di Bintulu musnah dalam kebakaran jam 7 pagi.

Tiada ulasan: