Sabtu, 8 Ogos 2020

7 kes positif Covid-19, tiada kes baharu Sivagangga

 Oleh HASIF IDRIS

NOOR HISHAM ABDULLAH

PUTRAJAYA: Pandemik Covid-19 di seluruh negara mencatatkan penurunan kes secara keseluruhan semalam iaitu sebanyak tujuh kes dan tiada kes positif untuk kluster pesakit bawah siasatan (PUI) Sivangga.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pengurangan itu dilihat lebih baik berbanding 25 kes baharu yang direkodkan semalam.

Katanya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan sebanyak tiga kes manakala Selangor; Negeri Sembilan; Sarawak dan Labuan masing-masing satu kes.      

“Ini bermakna jumlah kes positif yang dicatatkan sehingga semalam adalah sebanyak 9,070 kes manakala 8,775 pesakit telah discaj (sembuh) dan jumlah kumulatif kematian adalah 125 kes.

“Hanya dua individu yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes kematian baharu yang berlaku setakat pukul 12 tengah hari ini,” katanya menerusi laman Facebook rasminya di sini semalam.

Noor Hisham berkata, sehingga pukul 12 tengah hari ini, seramai 4,198 orang disaring dalam kluster PUI Sivangga.

Katanya, bilangan saringan itu merangkumi Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. 

Daripada jumlah itu, katanya,  43 kes dikesan positif Covid-19, 3,235 negatif; dan 920 masih menunggu keputusan.

“Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif diteruskan. Langkah-langkah pencegahan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar dijalankan di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti berkait rapat dengan kluster ini.

“Situasi terkini kluster ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada orang ramai. Masyarakat diminta untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima sebelum mempercayai dan menyebarkan maklumat tersebut,” katanya.

Tiada ulasan: