Isnin, 10 Ogos 2020

3 kakitangan KKM dipercayai positif Covid-19, termasuk daripada kluster Sivagangga

Kakitangan kesihatan adalah antara kumpulan berisiko tinggi dan diberi 
keutamaan untuk menjalani ujian saringan di bawah strategi pendekatan 
tersasar yang digunakan KKM.

PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya 3 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dipercayai positif Covid-19 daripada 3 kluster aktif setakat 9 Ogos.

Semakan FMT berdasarkan kes baru yang diumumkan oleh KKM sejak seminggu lepas mendapati antaranya ialah 1 kes melibatkan seorang doktor daripada kluster pesakit bawah siasatan (PUI) Sivagangga.

Dua lagi kes membabitkan jurarawat KKM masing-masing daripada kluster Kurau di Perak dan kluster Meranti di Putrajaya.

Kluster Kurau dan Meranti merupakan 2 kluster baru yang dikenal pasti oleh KKM semalam.

Difahamkan kakitangan KKM daripada kluster PUI Sivagangga adalah seorang doktor di Pulau Pinang dan 2 jururawat daripada kluster Kurau dan Meranti.

Doktor berkenaan dipercayai pernah berada di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketat bersasar secara pentadbiran (Temco) di Kedah.

Sementara itu jururawat bagi kluster Meranti berjangkit daripada seorang pesakit, manakala jururawat daripada kluster Kurau masih dalam siasatan.

Setakat ini, tiada kes jangkitan berlaku dari wad pesakit Covid-19 di hospital KKM.

Kakitangan kesihatan adalah antara kumpulan berisiko tinggi dan diberi keutamaan untuk menjalani ujian saringan di bawah strategi pendekatan tersasar yang digunakan KKM.

Jangkitan wabak Covid-19 daripada kluster PUI Sivagangga kini mencecah 45 kes selepas 4,636 individu disaring setakat jam 12 tengah hari semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, saringan itu meliputi 4,078 individu di Kedah dengan 31 kes dikesan positif, 390 di Perlis (11 positif) dan 168 di Pulau Pinang (3 positif).

“Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif masih diteruskan,” katanya.

Sebelum ini, Hospital Sentosa di Kuching terpaksa ditutup kepada orang awam selepas berlaku jangkitan dalam kalangan kakitangan kesihatan dan pekerja pembersihan.

Kluster Sentosa masih aktif dan kes indeksnya adalah petugas kesihatan di situ. Punca jangkitan masih disiasat.

Pada 25 Julai Noor Hisham dilaporkan berkata, kesan daripada kluster Sentosa menyebabkan Kuching dikategorikan sebagai zon merah selepas mencatatkan lebih 41 kes Covid-19

Tiada ulasan: