Khamis, 6 Ogos 2020

2 sindiket palsu dokumen didalangi warga Myanmar tumpas

Kad palsu UNHCR yang dirampas Jabatan Imigresen. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Dua sindiket pemalsuan dokumen didalangi warga Myanmar yang menyasarkan etnik Rohingya dan Arakan tumpas dalam operasi Jabatan Imigresen di Jalan Lebuh Pudu, Kuala Lumpur semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata kegiatan sindiket yang dipercayai beroperasi kira-kira 2 tahun lalu itu dihidu pihak berkuasa selepas pendaratan pelarian Rohingya di pantai Kuala Muda, Kedah pada Mac 2019.

Katanya, sindiket itu dipercayai mengeluarkan kira-kira 14,000 dokumen palsu setahun, antaranya kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan i-Kad Imigresen dengan bayaran RM30 hingga RM150, bergantung kepada jenis dokumen.

“Risikan mendapati sekitar 30 hingga 50 pelanggan berurusan dengan sindiket ini setiap hari,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi semalam, 15 lelaki Myanmar dan seorang lelaki Bangladesh ditahan, manakala seorang lelaki tempatan yang menyewakan premisnya kepada warga asing itu dikeluarkan saman saksi bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan turut menemui surat rayuan, surat perlindungan dan surat bantuan perubatan kepada UNHCR untuk warga Myanmar, di mana dokumen palsu itu bertujuan mengelakkan ditahan pihak berkuasa sehingga mereka mendapat surat janji temu daripada UNHCR untuk mendapatkan dokumen UNHCR yang sah.”

Khairul berkata, sindiket itu turut dikesan menyediakan perkhidmatan memalsu dan meminda maklumat “bio-page” pasport antarabangsa pelbagai negara, membuat pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan pas lawatan lain.

Khairul Dzaimee Daud menunjukkan dokumen palsu keputusan
ujian saringan Covid-19 pada sidang media di Putrajaya hari ini.
(Gambar Bernama)

Katanya, dokumen palsu yang ditempah akan diserahkan pada hari sama bagi pelanggan di Lembah Klang, manakala pelanggan di negeri lain dihantar melalui kurier setelah mendapat bayaran.

“Sindiket menerima tempahan dari seluruh Semenanjung dan pelanggan hanya perlu menghantar butiran peribadi serta gambar melalui aplikasi WhatsApp, Viber, imo dan e-mel,” katanya sambil menegaskan Jabatan Imigresen akan melaksanakan operasi besar-besaran bagi mengesan pemilik kad palsu UNHCR dikeluarkan sindiket itu.

Antara yang dirampas dalam operasi itu ialah pelbagai dokumen palsu termasuk 35 kad UNHCR, 13 i-Kad Imigresen, 6 surat UNHCR, 5 kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta 3 komputer, 3 komputer riba, 6 mesin pencetak, 4 mesin lamina dan 5 pemacu pena.

“Templat surat pengesahan pemeriksaan Covid-19 klinik swasta dan templat lain turut ditemui dalam pemacu pena dan komputer riba dirampas.”

Beliau berkata, semua warga asing yang ditahan itu akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Jabatan Imigresen juga akan bekerjasama dengan polis bagi membolehkan kes itu disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.”

Tiada ulasan: