Sabtu, 1 Ogos 2020

134 ditahan langgar SOP PKPP pada hari pertama Aidiladha

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, 3,384 rakyat
Malaysia yang pulang dari luar negara kini menjalani kuarantin di stesen khas
yang disediakan sejak ia dilaksanakan semula pada 24 Julai.

PETALING JAYA: Polis menahan lebih 100 individu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) pada hari pertama Aidiladha semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan yang dilakukan ialah hadir di pusat urut dan majlis keramaian yang melibatkan jumlah kehadiran yang ramai sehingga menyukarkan penjarakan fizikal.

“Semalam polis menahan 134 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP. Daripada jumlah itu, seramai 19 individu direman, manakala 22 individu dijamin. Seramai itu, 93 individu dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ialah ingkar arahan PKP, termasuk aktiviti di pusat urut tanpa lesen 12 orang; aktiviti yang tidak mengikuti SOP 33 orang; aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal 88 orang dan melanggar perintah pengawasan di rumah 1 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.Katanya, polis juga membuat pemantauan SOP solat Jumaat di 2,294 masjid yang melibatkan 283,355

jemaah dan kesemua didapati mengikuti SOP yang ditetapkan serta mengikut saiz keluasan masjid.

Dalam perkembangan sama, 3,384 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara menjalani kuarantin di stesen khas yang disediakan oleh kerajaan sejak ia dilaksanakan semula bermula 24 Julai.

“Bermula 24 Julai 2020, kerajaan memutuskan semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan warganegara asing yang dibenarkan masuk ke Malaysia perlu menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan.

“Sejak 24 Julai sehingga 31 Julai 2020, seramai 3,384 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua ditempatkan di 14 Hotel dan 5 Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor dan Johor.

“Daripada jumlah itu, seramai 13 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Mereka pulang dari 23 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda dan Australia,” katanya.

Katanya, polis melakukan 2,271 pemeriksaan ke atas individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

“Polis bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan ke atas individu tebabit bagi memastikan SOP dipatuhi.

Dari 27 sehingga 31 Julai 2020, polis mengambil tindakan terhadap 6 individu kerana gagal mematuhi SOP ‘home quarantine’ yang ditetapkan,” katanya.

Tiada ulasan: