Sabtu, 1 Ogos 2020

1 ditahan curi balak di Terengganu pada malam Aidiladha

Seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan hasil aduan orang awam dan intipan Jabatan
Perhutanan Terengganu selama 3 hari.

MARANG: Tiga lelaki cuba menceroboh kawasan hutan dan mencuri kayu balak pada malam sambutan Aidiladha.

Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu, Muhamad Abdullah berkata dalam kejadian di kawasan hutan Merchang dekat sini, seorang daripada 3 lelaki itu berjaya ditahan, manakala 2 lagi sempat melarikan diri dalam serbuan kira-kira 11.20 malam Khamis.

“Lelaki berusia 21 tahun itu terpaksa beraya di lokap Ibu pejabat Polis Daerah Marang. Penangkapan ini adalah hasil aduan orang awam dan kita telah lakukan intipan sejak 3 hari lalu.

“Ketika intipan yang dilakukan, terdapat 3 lelaki sedang memunggah kayu ke atas lori,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, suspek mungkin tidak menjangkakan penguat kuasa akan terus melakukan rondaan meskipun menjelang sambutan Aidiladha.

Mengikut rekod, 6 ditahan sehingga bulan lalu, membabitkan 17 kes kesalahan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Katanya, kes paling kerap berlaku di daerah Besut oleh orang tempatan.

Tiada ulasan: