Khamis, 30 Julai 2020

Wee: Kos RTS RM10 bilion, Malaysia biaya 39%, Singapura 61%

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, pembinaan RTS akan dibuat dalam
2 fasa, iaitu fasa pertama dari awal 2021 hingga hujung 2024, merangkumi pembinaan
atau pembangunan struktur sivil.

JOHOR BAHRU: Kos keseluruhan pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Malaysia dan Singapura di sini dianggarkan bernilai kira-kira RM10 bilion, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Beliau berkata daripada keseluruhan jumlah itu, 61% daripadanya dibiayai oleh kerajaan Singapura, manakala 39% lagi ditanggung oleh kerajaan Malaysia.

“Berdasarkan kepada perjanjian Singapura-Malaysia, nisbah (kos) ialah 61:39, lebih kurang jumlahnya ialah RM10 bilion. Singapura akan membiayai 60 hingga 61%, manakala pihak kita pula ialah 39% dengan kos RM3.716 bilion.

“Maka kos RM10 bilion itu ialah untuk jarak sepanjang 4 kilometer. Jarak Malaysia ialah kira-kira 2.7 km dan 1.3 km untuk Singapura,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Wee juga berkata, pembinaan RTS berkenaan akan dilakukan dalam 2 fasa iaitu bahagian pertama pada awal 2021 hingga hujung 2024, merangkumi fasa pembinaan atau pembangunan struktur sivil.

Sementara itu, fasa 2 akan bermula awal 2025 hingga akhir 2026, melibatkan pembinaan sistem seperti isyarat, “rolling stock”, telekomunikasi, dan pengujian sistem.

Ketika ditanya mengenai keperluan mempunyai depoh Wadi Hana di Johor Bahru, Wee berkata, depoh itu diperlukan bagi tujuan penyelenggaraan RTS yang mengguna pakai sistem Transit Aliran Ringan (LRT) kerana Singapura menggunakan sistem berlainan, iaitu Mass Rapid System (MRT).

“Perlunya ada depoh di Wadi Hana ialah kerana kita menggunakan sistem LRT. Lagipun, Prasarana mempunyai pengalaman mengendalikan sistem landasan LRT.

“Kita perlukan depoh penyelenggaraan, tempat untuk kita menyelenggara dan sebab itulah kita pilih Wadi Hana. Bagaimanapun saiz tanah untuk depoh berkenaan belum dimuktamadkan lagi kerana kita perlu berbincang dengan kerajaan negeri.

“Tetapi setakat ini, kita mengenal pasti 40 lot (tanah). Saiz sebenar akan dimaklumkan secepat mungkin,” katanya.

Tiada ulasan: