Ahad, 5 Julai 2020

Warga M'sia terkandas di Oman mula putus harapan

Geraldine Tong

Malaysiakini
 
Sementara ramai yang telah pulang selepas terkandas di luar negara susulan kawalan pergerakan akibat wabak Covid-19, sekumpulan warga Malaysia di Oman masih belum bernasib baik untuk berbuat demikian.

Salah seorang warga Malaysia yang terkandas di sana, Mastura Badzis adalah pensyarah psikologi kanak-kanak di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang merupakan profesor pelawat di Universiti Sultan Qaboos di ibu kota negara itu, Muscat ketika Covid-19 mula menular.

Selepas berdepan cabaran demi cabaran dalam usaha untuk pulang, Mastura berkata ramai di kalangan mereka kini semakin tertekan kerana pelbagai isu antaranya kehilangan kerja, memiliki ibu bapa yang sakit atau isteri yang sedang mengandung.

Usaha penghantaran balik di Muscat bermula pada 17 Mei apabila kerajaan Oman menghantar pesawat Salam Air ke Malaysia untuk mengambil warga negaranya, katanya.

Melalui kedutaan Malaysia, mereka menawarkan tempat duduk kepada warga Malaysia bagi penerbangan ke Kuala Lumpur pada masa itu.

Begitu juga pada 8 Jun, apabila sebuah syarikat di Oman mengaturkan sebuah pesawat kargo Oman Air untuk menghantar pulang pekerja warga Malaysia pulang. Melalui kedutaan Malaysia, mereka turut menawarkan tempat untuk mana-mana warga Malaysia yang mahu pulang.

Menurut Mastura, tawaran kedua itu hanya disampaikan kepada mereka dua hari sebelum penerbangan.

Katanya, dia tidak dapat turut serta dalam kedua-dua penerbangan kerana kontraknya dengan universiti hanya tamat 18 Jun.

"Setiap kami ada malalah sendiri, perancangan sendiri. Misalnya macam saya, tempoh saya (di universiti) hanya tamat 18 Jun," katanya kepada Malaysiakini.

Walaupun Universiti Sultan Qaboos menawarkan tiket penerbangan terbuka dengan Oman Air, kata Mastura, dia tidak dapat menggunakannya kerana kerajaan Oman telah menutup lapangan terbang.

Dia kemudian mendaftar dengan kedutaan Malaysia untuk menerima kemas kini berkenaan sebarang penerbangan penghantaran pulang.

Pada 22 Jun, dia berkata mereka yang mendaftar dengan kedutaan diberitahu bahawa pihak kedutaan telah mengaturkan satu penerbangan dengan Malindo Air bagi 100 orang, dengan kadar RM4,000 seorang.

"Bagi saya, walaupun ia mahal, tetapi masih boleh dibayar. Kami masih boleh terima," katanya.

Tetapi dua hari kemudian, pihak kedutaan berkata hanya 60 warga Malaysia yang menyertai penerbangan itu, bermakna mereka perlu membayar RM6,000 seorang.

Pada masa sama, Mastura berkata kedutaan mewujudkan kumpulan WhatsApp untuk memberikan kemas kini berkenaan usaha penghantaran pulang, termasuk langkah untuk mendapatkan penerbangan Emirates Airline melalui Dubai.

Kedutaan berjaya berunding dengan Emirates dengan harga tiket kurang RM4,000, katanya lagi.

"Semua orang gembira dan kita mula mengemas barang untuk penerbangan yang dijadual 4 Julai.

"Tetapi pada 29 Jun, kami diberitahu oleh kedutaan Malaysia bahawa mereka berdepan masalah dalam rundingan dengan pihak berkuasa penerbangan awam Oman kerana kerajaan negara itu memutuskan untuk tidak membenarkan perkhidmatan penghantaran pulang oleh penerbangan selain Oman Air, Salam Air atau syarikat penerbangan negara yang terlibat.

 "Ini satu maklumat baru dan kedutaan terkejut apabila mereka dapat tahu tentangnya, mereka cuba buat rayuan tetapi tidak berjaya," kata Mastura.

Ditimpa satu lagi masalah, kedutaan Malaysia memaklumkan dalam kumpulan WhatsApp mereka sedang cuba berhubung dengan kedutaan negara Asean di Oman untuk penerbangan khusus bagi warga Asean.

Bagaimanapun, pada 1 Julai, kedutaan memberitahu usaha untuk seperti tidak membuahkan hasil.

Kedutaan kemudian memberitahu mereka akan cuba mendapatkan penerbangan MAS daripada negara lain untuk berhenti di Muscat untuk mengambil mereka, sebelum pulang ke Malaysia.

Bagaimanapun dua hari kemudian, pada 3 Julai, kedutaan berkata usaha itu juga gagal, kata Mastura.

"Jadi kami kembali ke petak pertama di mana kami perlu bayar RM6,000 untuk penerbangan Malindo Air dan mereka tanya jika ada yang boleh membayarnya.

"Bagi mereka yang baru hilang kerja, RM6,000 seorang adalah terlalu tinggi. Jadi saya fikir kerajaan perlu bantu kami.

"Jika kami masih belum dapat capai penyelesaian, kami perlu menulis kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk beritahu apa yang berlaku dan ramai di kalangan kami dalam keadaan terdesak.

"Kami patut buat rayuan kepada MKN agar membantu memsubsidi bayaran Malindo Air. Saya yakin MKN akan dapat bantu kami, ini pandangan saya," katanya lagi.

Menurut Mastura, dia menyatakan perkara itu dalam kumpulan WhatsApp beberapa hari lalu tetapi tiada seorang daripada pihak kedutaan yang membuat susulan.

"Kami hanya dinasihatkan untuk bertenang, sabar dan tunggu," katany pensyarah itu yang suami dan anak-anaknya berada di Malaysia.

Dalam kumpulan WhatsApp itu, kata Mastura, semakin ramai yang putus harapan, termasuk seorang wanita yang menghantar mesej peribadi kepadanya untuk memberitahu dia tidak dapat tidur malam kerana masalah tersebut.

Seorang lagi wanita memberitahu dalam kumpulan WhatsApp bahawa bukan saja ibu bapany kini dalam Unit Rawatan Rapi (ICU), dia juga telah hilang kerja dan tidak mampu lagi untuk terus tinggal di Oman, katanya.

"Saya kata pada diri sendiri, saya perlu buat sesuatu kerana tiada yang berkata apa-apa. Saya tak kenal mereka secara peribadi...tapi kita perlu buat sesuaut, jika tidak apa yang akan berlaku terhadap mereka?

"Saya tak boleh tengok sahaja kerana walaupun kedutaan telah cuba yang terbaik untuk mengaturkan penerbangan, mereka tidak menangani isu berkaitan kebajikan kewangan dan emosi.

"Saya cuba bangkitkan perkara ini dan mungkin kami perlu buat laporan kepada MKN...Mungkin kami boleh menarik perhatian kementerian (untuk membantu)," katanya lagi.

Tiada ulasan: