Sabtu, 4 Julai 2020

Tidak rasmi: BN menang besar, kekal kuasai Chini

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

PRK CHINI | BN menang besar dalam pilihan raya kecil Chini berbanding dua calon bebas, berdasarkan kiraan undi tidak rasmi yang masih berlangsung.

Ketika laporan ini ditulis, Mohd Sharim Md Zain daripada BN meraih 13,198 undi daripada keseluruhan 20,990 pengundi berdaftar di kerusi DN itu.

Parti pembangkang tidak mengambil bahagian dalam PRK yang diadakan ketika wabak Covid-19 yang menyaksikan SOP batasan berkempen.

Calon bebas PRK Chini Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli masing-masing setakat ini mendapat 1,157 dan 133 undi.

Tengku Zainul ialah timbalan ketua Bersatu Bahagian Pekan tetapi secara automatik dipecat kerana melanggar perintah partinya untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil ini.

Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad, yang mengetuai satu lagi kem Bersatu yang tidak berpihak kepada PN, telah menyokong Tengku Zainul.

Menariknya Tengku Zainal menang lebih banyak undi daripada yang pernah diraih PKR pada PRU14, walaupun sebelum pengiraan undi berakhir.

Pada pilihan raya 2018, Abu Bakar Harun dari Umno yang mewakili BN di Chini menang dengan 10,027 undi berbanding PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim 5,405 undi. Calon PKR, Mohamad Razali Ithnain menduduki tempat ketiga dengan 1,065 undi.

PAS dan Umno kini sebahagian daripada kerajaan PN. Pilihan raya kecil diadakan setelah Abu Bakar, 60 meninggal dunia pada 7 Mei. Hari penamaan calon pada 18 Jun lalu dan kempen berlangsung selama dua minggu.

Peratusan keluar mengundi pada hari ini adalah sebanyak 74 peratus, bermakna tinggal 1044 undi lagi yang belum dikira.

Tiada ulasan: