Selasa, 28 Julai 2020

Tiada premis pelancong di Kelantan gulung tikar

Siti Rohana Idris

Md Anizam Ab Rahman ketika sidang media pada Majlis Perasmian Program Disinfeksi di Premis Penginapan Pelancongan di Hotel Perdana. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

SETAKAT ini, tiada premis berkaitan bidang pelancongan berdaftar di Kelantan, dikesan gulung tikar akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata, pihaknya giat merancakkan pelancongan domestik bagi memberi pulangan baik kepada penggiat industri berkaitan.

Beliau berkata, majoriti pengusaha premis berkaitan bidang pelancongan sudah mulai bangkit dengan kira-kira 65 peratus mengalami proses pemulihan.

"Dalam usaha merancakkan pelancongan domestik, kerajaan negeri turut bekerjasama dengan penggiat industri terutama pengusaha hotel dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Sebagai inisiatif, proses sanitasi hotel dilakukan membabitkan 55 hotel di negeri ini untuk nyahkuman supaya memberi rangsangan kepada pelancong untuk datang menginap.

"Kita harapkan proses ini memberi lonjakan kepada industri pelancongan domestik, sekali gus pengunjung berasa lebih selamat apabila menginap," katanya.

Beliau menyaksikan proses sanitasi di Hotel Perdana, Kota Bharu, dilakukan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu.

Md Anizam berkata, pihaknya menyediakan peruntukan sebanyak RM500 untuk setiap hotel terpilih bagi menjalankan proses nyahkuman itu.

Selain proses nyahkuman, beliau berkata, 50 hotel di Kelantan akan memberikan baucar potongan RM30 untuk bilik penginapan kepada 100 pengunjung terawal, bermula Ogos ini

Tiada ulasan: