Selasa, 28 Julai 2020

Rayer kecoh bila Azeez masuk Dewan Rakyat tanpa pelitup muka

Muhammad Azizul Osman
Ahli Parlimen Jelutong, R. Sanisvara Nethaji Rayer bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 07 OGOS 2018
Ahli Parlimen Jelutong, R. Sanisvara Nethaji Rayer bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK

KUALA LUMPUR – Tidak habis dengan isu penjualan aset Tabung Haji, Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mendakwa Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim memasuki Dewan Rakyat tanpa memakai pelitup muka.

Rayer berkata, Azeez sebelum itu berada di perkarangan Mahkamah Jalan Duta bagi mengiringi Datuk Seri Najib Razak dalam keputusan mahkamah bagi pertuduhan penyewelengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

“Berkenaan isu Covid-19 dan SOP ahli-ahli yang hadir dalam dewan. Menteri (Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob) pun ada sini.

“Pagi tadi ada ahli Parlimen telah hadir di perkarangan mahkamah tanpa memakai penutup muka dan gambar itu telah tular di media sosial. Antaranya Ahli Parlimen Baling,” kata Rayer yang bangun memberitahu Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azeez bingkas bangun dan menyangkal dakwaan itu dengan berkata; “Saya pakai mask. Jangan nak menipu.”

Kemudian Rayer berkata dia mahu tanya sama ada SOP telah dipatuhi kepada mereka yang mengiringi Najib di mahkamah hari ini.

Azalina selepas itu berkata, Dewan Rakyat sedang mendengar perbahasan dan seperti enggan melayan perkara itu.

Justeru itu, Rayer mendakwa, tindakan itu berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan ahli-ahli Parlimen yang hadir di Dewan Rakyat hari ini.

“Ahli Parlimen Baling telah hadir tanpa memakai mask dan dia ada di sini. Ini penting demi kesihatan kita,” katanya.

Azalina pula beralasan perkara yang dibangkitkan Rayer tidak ada dalam Peraturan Mesyuarat dan menggesa agar satu peraturan mesyuarat dibangkitkan Rayer.

“Saya tidak dapat beri panduan sekarang sebab beritanya tentang Peraturan Mesyuarat. Saya nak tanya peraturan yang mana?” soal Azalina.

Rayer pula terus mempersoalkan tindakan Azeez yang memasuki Dewan Rakyat tanpa memakai pelitup muka.

“Ia peraturan berkenaan wabak Covid-19 dan nasihat SOP yang telah diberikan menteri. Ini bukan sahaja mengikut peraturan SOP tapi keselamatan terhadap semua ahli dewan. Kalau kita hadir diluar,” kata Rayer.

“Tidak ada dalam peraturan,” jawab Azalina.

Perkara itu berlangsung selama 15 minit sehinggalah Azalina menasihati Rayer berurusan dengan pihak pengurusan Parlimen tentang perkara itu.

“Kalau nak rujuk kepada kedudukan, itu buat oleh Speaker. Kalau mengenai sesiapa yang masuk keluar dewan, yang menjaga adalah bentara dan pengawal keselamatan di luar dewan. Itu tertakluk kepada Ketua Pengarah Parlimen di luar dewan.

“Kalau ada isu tentang sesiapa yang berada tidak sesuai, sila bawa ke Ketua Pengarah Parlimen,” nasihat Azalina kepada Rayer.

“Saya risau akan keselamatan speaker sendiri,” jawab Rayer.

Azalina seterusnya mengucapkan terima kasih dan mengarahkan pembahas seterusnya mengambil tempat.

“Terima kasih. Sila bawa ke Ketua Pengarah di luar. Sila duduk,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: