Selasa, 28 Julai 2020

Rakyat perlu zahirkan bersama “Semangat Malaysia Prihatin” – PM

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF280720_PELANCARAN-BULAN-KEBANGSAAN-8-681x454
Upacara menaikkan jalur gemilang pada Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK

PUTRAJAYA – Semangat ‘Malaysia Prihatin’ perlu dizahirkan bukan sahaja kepada mereka yang bertugas di barisan hadapan, sebaliknya ia meliputi rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat yang juga merupakan wira tidak didendang.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka tampil untuk memberikan bantuan dan sokongan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

Katanya, ia merupakan petanda baik yang membuktikan rakyat Malaysia boleh bersatu sama ada di waktu susah apatah lagi dalam waktu senang.

“Pada hakikatnya, semangat Malaysia Prihatin ini juga kita hendak semarakkan di segenap segi kehidupan masyarakat, bukan sahaja dalam usaha kita menamatkan terus wabak Covid-19, tetapi dalam usaha memulihkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat kearah yang lebih baik.

“Malaysia Prihatin perlu kita sematkan dalam ingatan untuk kita mengukuhkan kembali asas-asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Kita perlu melakukannya bersama-sama dan dengan keazaman dan usaha yang bersungguh-sungguh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di Dataran Perdana Putra, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut menteri-menteri Kabinet dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Muhyiddin berkata, beliau bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat menjalani kehidupan dalam keadaan yang aman dan harmoni.

Justeru, beliau mengajak rakyat Malaysia untuk terus menyemarakkan keharmonian yang dikecapi selama ini demi negara yang tercinta dan sekaligus memartabat agenda untuk membina negara. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: