Ahad, 26 Julai 2020

Pendedahan Mengejutkan Tentang Penjualan Aset Tabung Haji di Parlimen


YDP PAS Shah Alam, Ahmad Dusuki Abd Rani dilaporkan memberi amaran keras semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) supaya jangan ‘menjual’ aset Lembaga Tabung Haji (TH) kepada orang bukan Islam. Sebabnya mudah. TH adalah sebuah institusi memperkasa ekonomi umat Islam, ada maruah, perlu dijaga sebaiknya, lebih-lebih lagi berkaitan ibadat dalam rukun Islam.

Ramai orang awam, termasuklah saya mentafsirkan amaran tersebut lebih kepada peringatan kepada Menteri di JPM ketika itu Mujahid Yusof (YB Parit Buntar daripada Parti Amanah) supaya berjaga-jaga dengan ‘perpindahan aset’ TH kepada Urusharta Jemaah Sdn Bhd, SPV yang didakwa diperbadankan di bawah Kementerian Kewangan, sementelah menterinya adalah Setiausaha Agung DAP.

Namun, tafsiran saya meleset. Pendedahan Timbalan Menteri di JPM kerajaan baru Perikatan Nasional (PN), dalam jawapan Parlimen pada 22 Julai 2020 menunjukkan amaran TDP PAS Shah Alam tersebut adalah berasas. Ini diperkukuh dengan ‘tembakan machine gun’ oleh YB Baling, bekas Pengerusi TH sehari sebelumnya yang membuatkan MP-MP Pakatan Harapan Plus tertunduk diam.

Perkara ini tidak timbul dalam perbahasan Parlimen oleh YB Parit Buntar pada 15 Julai 2020 atau semasa celahan YB Kulim Bandar Baru terhadap perbahasan YB Port Dickson pada 14 Julai 2020 tentang TH. Setakat diikuti, tiada disebutkan soal penjualan aset subsidiari TH, TH Plantations Berhad (THP) kepada syarikat dimiliki oleh bukan bumiputera.

Saya ringkaskan beberapa pendedahan di Parlimen oleh Menteri dan YB Baling serta beberapa rekod yang boleh diakses melalui internet dan rakaman video Youtube seperti berikut:

1. Kerajaan Pakatan Harapan pada Ogos 2019 membuat keputusan menjual 14 anak syarikat THP yang memiliki 76,957 hektar tanah iaitu 76.2% daripada keseluruhan ladang sawit kepunyaan THP walau pun ada syarikat tersebut mencatatkan keuntungan.

2. THP turut menjual syarikat Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (termasuklah Maju Warisanmas Sdn Bhd) yang memiliki tanah berkeluasan 6,514 hektar dengan tanaman kelapa sawit kepada syarikat Tamaco Plantation Sdn Bhd.

3. Ahli Lembaga Pengarah syarikat Tamaco yang membeli tanah THP ini ialah Lim Sing Hua, Lim Chun Leng, Lim Wai Foong, Lim Chun Hsiung dan Lee Ban Loong.

4. Penjualan dibuat dengan nilai RM170 juta, iaitu nilai di bawah harga pasaran.

5. Nilai jualan RM170 juta ini adalah jauh lebih rendah daripada penilaian asal oleh RM280 juta oleh jurunilai bebas CH Williams Talhar & Wong pada Disember 2018.

6. Nilai jualan ini juga rendah daripada harga RM224 juta oleh penilai kerajaan di Jabatan Penilaian & Perkhidmatan Harta (JPPH) pada April 2020 yang kemudian diminta dinilai semula oleh THP dan diturunkan kepada RM198 juta.

Harga THP di Bintulu dan Sibu tersebut sangat murah. Lebih 6,514 hektar adalah bersama 16,100 ekar. Jualan dengan harga RM170 juta bermaksud harganya lebih kurang RM10,600 seekar atau 24 sen sekaki persegi. 24 sen sekali persegi sangat murah!.

Malah, harga itu juga terlalu murah jika dibandingkan dengan harga asal RM264 juta ketika ladang tersebut dibeli daripada syarikat bukan bumiputera pada Februari 2013 atau berbanding harga rekod Annual Report THP tahun 2017 yang mencatatkan nilainya adalah RM366.5 juta.

Fakta ini juga menjawab persoalan kenapa ada syarikat yang sanggup membeli ladang THP, iaitu harganya murah sedangkan potensi keuntungannya tinggi. Namun, persoalan lebih besar, kenapa aset umat Islam ini dijual kepada bukan bumiputera dengan harga yang tak selayaknya. Ini bukan soal rasis tapi soal harta pendeposit yang 100% adalah umat Islam.

Selain itu terdapat beberapa isu lain yang disebutkan di Parlimen, antaranya:

1. Terdapat surat daripada Menteri lalu, kini YB Parit Buntar yang mengarahkan semua perabut di empat hotel yang diambil alih oleh UJSB dijual dengan harga sangat rendah, iaitu RM10,000.

2. Kegagalan membentangkan Laporan Tahunan Penyata Kewangan TH untuk diaudit oleh Jabatan Audit Negara selama 2 tahun, iaitu pada tahun kewangan 2018 dan 2019 seperti dikehendaki oleh Akta 240.

Mujurlah kerajaan kini berubah kepada PN. Terima kasih atas pendedahan, mudah-mudahan kita sempat mengawal ‘risiko’ buruk ini daripada berlaku. Berdoalah ‘nasi tidak menjadi basi makanan ayam’. Seandainya pemerintahan PH berterusan, apalah nasib TH dan 9.43 juta pendeposit agaknya. Sudahlah hibah terendah dalam sejarah, TH rupanya ‘ada riak-riak’ nak dijarah.

Sudahlah!. Marilah kita memastikan PH atau PH Plus tidak mengulanginya perkara ini lagi. Medan PRU-15 - kitalah ‘hakim’ untuk menjatuhkan hukuman ‘buang gelaran YB’ kepada mereka, kitalah ‘pengadil’ untuk melayangkan kad merah kepada mereka.

* Pertubuhan penggerak generasi muda Malaysia negeri kelantan Darul naim
* Persatuan gerakan belia 4B malaysia kawasan rantau panjang

Tiada ulasan: