Jumaat, 3 Julai 2020

Pas yakin semua ahlinya di Chini undi calon BN

Muhammad Azizul Osman
MGF01072020_CERAMAH-MUAFAKAT-NASIONAL-PRK-CHINI34-681x454
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bercakap kepada media pada Ceramah Muafakat Nasional sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Tapak Pasar Tani FAMA, Chini, Pahang. foto AFFAN FAUZI

CHINI – ‘Ahli Pas sangat setia dan patuh kepada keputusan parti’.

Itu kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai calon yang akan dipilih pengundi parti itu.

Menurut beliau, kepimpinan parti sudah membuat keputusan untuk menyokong calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini pada Sabtu ini.

“Biasa pengalaman saya sebagai pimpinan Pas, ahli sangat setia dan patuh. Bila parti buat keputusan dia akan ikut dan saya tidak risau tentang itu. Bagi saya mereka akan keluar mengundi dan akan undi calon yang diputuskan oleh pimpinan parti. Semua ahli Pas mesti sokong calon BN,” katanya dalam ceramah Muafakat Nasional di Chini satu, malam tadi.

Hadir sama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Menurut Tuan Ibrahim, semua jentera telah dikerahkan untuk meraih undi kepada Mohd Sharim.

Dalam pada itu, katanya, kemenangan BN dalam PRK DUN Chini berupaya menjadi contoh terbaik kepada pelaksanaan kerjasama Muafakat Nasional.

Katanya, ini kerana terdapat banyak contoh di mana pimpinan UMNO dan Pas berjaya mengenepikan perbezaan bagi memberi sokongan penuh kepada calon BN dalam PRK DUN Chini.

“Ini dapat dilihat apabila Timbalan Yang Di-pertua Pas Kawasan Pekan Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang sebelum beberapa kali menjadi calon Pas di DUN Chini, menjadi pencadang kepada calon BN,” katanya.

Beliau berkata contoh lain yang dapat dilihat ialah jentera Pas memberi kerjasama dalam setiap kempen calon BN itu.

“Ini menunjukkan pimpinan kedua-dua parti mengutamakan kepentingan rakyat. Saya juga berharap politik ini supaya jangangn hilangkan kekuatan dan asas kita,” katanya lagi.

Beliau juga berkata kerjasama Muafakat Nasional akan terus komited dengan persetujuan bahawa dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti, pertandingan adalah satu lawan satu antara Perikatan Nasional (PN) dan parti lawan.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 7 Mei lepas, akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas.

Pada PRU14 lepas, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, menewaskan calon Pas Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065). – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: