Rabu, 29 Julai 2020

Letak kepercayaan terhadap sistem perundangan, kehakiman negara – PM

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF160320_PC-TAN-SRI-MUHYIDDIN-YASSIN_03-1-681x454
Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Semua pihak digesa supaya meletakkan kepercayaan terhadap sistem perundangan serta kehakiman negara sebagai institusi yang bebas dan berkecuali.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan mengambil maklum terhadap keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang mensabitkan Datuk Seri Najib Razak bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan melibatkan dan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

“Saya memahami perasaan dan sentimen rakan-rakan terhadap keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah.

“Namun begitu, saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional akan sentiasa menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan menghormati hak Najib untuk merayu atas hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah.

Beliau turut meminta semua pihak memberi ruang kepada proses undang-undang memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan salah guna kuasa terhadap Najib.

Bekas perdana menteri itu didapati bersalah atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).

Bagi kesalahan pecah amanah pula, penjara 10 tahun setiap satu tuduhan.

Semua hukuman penjara berjalan serentak dan jika tidak membayar denda, Najib perlu jalani hukuman penjara lima tahun. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: