Rabu, 29 Julai 2020

Lebih 4,000 syarikat gulung tikar sejak April lalu

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol
Wahid berkata, Jun merekodkan penutupan syarikat paling tinggi iaitu 1,592.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,542 permohonan penamatan perniagaan diterima Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi tempoh 1 April hingga 19 Julai lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid berkata, daripada jumlah itu Jun merekodkan penutupan syarikat paling tinggi iaitu 1,592.

Katanya, berdasarkan statistik bagi tempoh sama, SSM turut merekodkan jumlah perniagaan baru yang didaftarkan jauh melebihi jumlah permohonan penamatan perniagaan iaitu 95%.

“Sebanyak 82,555 perniagaan baru didaftarkan bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Tan Kok Wai (PH-Cheras) berhubung jumlah perniagaan yang menutup operasi mereka dalam tempoh 4 bulan itu.

Mengulas mengenai jumlah perniagaan baru didaftarkan, beliau berkata Jun merekodkan bilangan tertinggi iaitu 39,931 syarikat.

“Ia diikuti bulan ini iaitu Julai sebanyak 29,834 syarikat, manakala Mei pula sebanyak 10,936,” katanya.

Katanya, April pula merekodkan sebanyak 1,854 syarikat baru didaftarkan.

Tiada ulasan: