Ahad, 26 Julai 2020

Laksana PKP semula jika kes Covid-19 naik 3 angka, kata menteri



Ismail Sabri Yaakob berkata, peningkatan semula kes Covid-19 kepada 2 angka
berpunca daripada kealpaan masyarakat, termasuk melanggar SOP.

KOTA BHARU: Kerajaan akan melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) jika kes Covid-19 kembali mencecah 3 angka, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kerajaan tidak mempunyai pilihan selain menguatkuasakan semula PKP fasa satu bagi membendung penularan pandemik itu.

“Kalau sudah mencapai 3 angka, kita tidak mempunyai pilihan lain dan akan memperkenalkan semula PKP dan kita akan melihat perkara ini.

“Saya memahami kalau PKP ini dikuatkuasakan semula, ia akan menyukarkan semua pihak, termasuk kita yang mahu bekerja dan sebagainya,” katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada veteran tentera sempena Program Cakna Veteran ATM di Wakaf Mek Zainab hari ini.

Menteri pertahanan itu mengulas peningkatan kes Covid-19 di dalam negara sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, peningkatan semula kes jangkitan kepada 2 angka berpunca daripada kealpaan masyarakat, termasuk melanggar SOP.

“Esok akan ada satu mesyuarat membincangkan pelbagai perkara dan sekiranya kerajaan akan memutuskan pelbagai perkara, rakyat mestilah mematuhi SOP itu nanti.”

Beliau mengingatkan umat Islam yang pulang bersempena Hari Raya Aidiladha supaya mematuhi SOP, termasuk ketika menghadiri ibadah korban.

Tiada ulasan: