Khamis, 30 Julai 2020

Kolej matrikulasi, IPG dibuka semula pada Ogos dan Sept

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi institut pendidikan
guru yang akan dibuka bermula September ini, ia membabitkan pendaftaran 5,000
pelajar baru dan kemasukan 8,000 pelajar sedia ada.

PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju membuka semula kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) pada Ogos dan September ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi kolej matrikulasi, pendaftaran bermula pada 3 hingga 7 Ogos membabitkan 30,000 pelajar di 15 kampus.

Katanya, sesi pembelajaran pula hanya bermula seminggu selepas pendaftaran selesai.

“Tempoh yang diberikan itu adalah bagi mengelakkan kaunter pendaftaran diserbu serentak,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ismail berkata, bagi IPG yang akan dibuka bermula September ini, ia membabitkan pendaftaran 5,000 pelajar baru dan kemasukan 8,000 pelajar sedia ada.

“Mesyuarat Khas Menteri-menteri mengenai pelaksanaan PKP telah meneliti dan bersetuju dengan pembentangan Kementerian Pendidikan (KPM) berkenaan pembukaan semula kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG).

“Pembukaan semula kolej matrikulasi dan IPG tertakluk kepada SOP dan garis panduan yang dipersetujui. Antaranya, penjarakan sosial, keselamatan dan kebersihan diri serta masyarakat sekeliling,” katanya.

Sementara itu, dalam keghairahan umat Islam menyambut Hari Raya Korban, Ismail mengingatkan bahawa setiap individu memainkan peranan penting sebagai petugas hadapan dalam usaha memerangi wabak Covid-19.

“Apabila di kampung halaman, terutamanya di tempat-tempat awam yang sesak, pastikan penjarakan sosial serta pemakaian pelitup muka dijadikan amalan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan membenarkan ibadat korban diadakan di masjid, surau dan kawasan yang dikenal pasti, namun tertakluk kepada SOP yang ditetapkan, termasuk jumlah kehadiran dihadkan kepada 20 orang untuk setiap ekor haiwan.

Jamuan makan di rumah sempena Hari Raya dihadkan kepada 20 orang pada satu-satu masa.

Tiada ulasan: