Rabu, 8 Julai 2020

Ketua Pemuda PAN kecam sumbangan Jakim kepada tadika Pasti

Ketua Pemuda PAN yang baru dilantik, Shazni Munir Mohd Ithnin mengecam keputusan menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad meluluskan sumbangan RM100,000 daripada Tabung Musa’adah Covid-19 Jakim kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti).

Shazni Munir berkata, sekiranya Pasti yang dimiliki PAS layak mendapat bantuan daripada tabung tersebut, seharusnya sumbangan sama seharusnya disalurkan kepada mana-mana tadika milik swasta lain.

“Sekiranya Pasti layak mendapat bantuan tersebut, seharusnya sumbangan itu turut disalurkan kepada mana-mana tadika milik swasta yang lain. Tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) selama lebih tiga bulan amat memberikan kesan yang mendalam kepada semua tadika swasta di Malaysia.

“Ada tadika yang langsung tidak menerima sebarang yuran bulanan sedangkan mereka harus menanggung kos operasi seperti biasa. Gaji guru perlu terus dibayar dan bayaran sewa harus diselesaikan tepat pada waktunya juga,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tabung Musa’adah Covid-19 dilancarkan oleh Jakim pada 24 Mac 2020, sebagai inisiatif membantu meringankan beban pihak yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Sementara itu Shazni Munir berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) bolehlah berhujah dengan alasan pengusaha tadika swasta mendapat pelbagai insentif daripada kerajaan seperti Program Subsidi Upah (PSU), Program Pengekalan Pekerjaan (ERP), Geran Khas Prihatin (GPK), Bantuan Prihatin Nasional (BPN) atau kemudahan pinjaman perniagaan tanpa faedah.

Namun soalnya, mengapa Pasti mendapat ‘keistimewaan’ tersebut.

“Kami percaya ia bukan dipilih berdasarkan kepada kelayakan semata-mata, tetapi agensi atau pihak manakah yang mempunyai kepentingan dan akses terus dengan pejabat menteri. Justeru, tidaklah menghairankan kerana timbalan menteri agama sendiri adalah ahli Parlimen PAS.

“Wang cukai yang dibayar oleh rakyat, namun digunakan untuk kepentingan parti sendiri. Tindakan ini tidak jauh beza dengan cara Umno membina kekayaan pemimpin dan parti menggunakan wang negara,” katanya.

Tiada ulasan: