Jumaat, 31 Julai 2020

Ketua Menteri tiada kuasa bubar DUN Sabah – Annuar

Nizam Zain
MGF30072020_SUMBANGAN-WILAYAH-PRIHATIN11-681x454
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa meluangkan masa melihat
kawasan yang dinaiki air sewaktu banjir kilat selepas menyampaikan sumbangan
Wilayah PRIHATIN Mangsa Banjir Kilat kepada sebahagian penduduk Kampung
Selayang Lama di Kampung Selayang Lama, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa sebaliknya berkata, Mohd Shafie hanya mempunyai kuasa untuk menasihatkan Yang Dipertua Negeri Sabah untuk membubarkan institusi itu.

“Datuk Seri Mohd Shafie tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan DUN (Sabah). Dia hanya boleh menasihatkan (TYT) jadi kalau nasihat dia diterima, maka Yang Dipertua Negeri perlu mengeluarkan penyataan secara rasmi,” katanya kepada pemberita ketika melawat mangsa banjir di Kampung Selayang Lama hari ini.

Awal hari ini, Mohd Shafie dalam sidang media di Kota Kinabalu mendedahkan telah mendapat surat daripada YDP Sabah untuk membubarkan DUN Sabah.

Ia susulan tindakan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman semalam yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah bagi membentuk Kerajaan Negeri baharu.

Dalam pada itu, Annuar juga mengingatkan semua pihak agar tidak mudah percaya dan menerima berita mengenai pembubaran DUN Sabah tanpa melalui saluran yang betul.

“Saya fikir ini oleh kerana berita-berita yang kita terima sekarang kena sentiasa berhati-hati. Kita akan menunggu pengumuman-pengumuman yang rasmi, bukan berita-berita takut nantinya tak sahih.

“Keadaan-keadaan sekarang ini pula macam-macam,” katanya.

Kata Annuar lagi, pihaknya hanya menunggu kenyataan rasmi daripada YDP Sabah berhubung pembubaran yang didakwa Mohd Shafie.

“Setakat yang saya tahu, penyataan rasmi belum dikeluarkan. Jadi kita tunggu penyataan yang rasmi tapi daripada segi perundangan, seorang ketua menteri tidak ada kuasa untuk membubarkan DUN Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: