Isnin, 27 Julai 2020

Keputusan ADUN DAP berhenti mengejutkan – King Wei

Bernama
IMG_5561-e1557492135835-681x455
Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

KUCHING — Pengumuman peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan Wong King Wei dari DAP lewat malam tadi, telah mengejutkan ramai pihak namun ia juga sesuatu yang perlu difikirkan tentang cara parti itu menangani perbezaan pendapat.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata beliau bersetuju dengan dakwaan Wong bahawa DAP terus menggunakan politik untuk melancarkan serangan walaupun mereka menjadi sebahagian daripada pemerintah kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

“YB Wong meminta kita untuk berfikir dengan menyuarakan kekecewaannya atas keengganan DAP untuk mendengar suara yang tidak berpuas hati dengan parti itu dan kurangnya pendekatan inklusif dalam pendapat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wong mengumumkan keputusannya untuk keluar parti DAP melalui kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi, memetik bahawa beliau muak dengan politik dalaman parti yang semata-mata bertujuan mencari survival, yang telah benar-benar menyimpang daripada perjuangan ketika beliau mula menyertai parti pada tahun 2006.

“Ia adalah sesuatu yang memeritkan apabila mengingatkan DAP. Saya berpendapat bahawa parti telah hilang peluang yang besar ketika mentadbir negara di peringkat Persekutuan untuk merealisasikan idea dan impian kami menjadi kenyataan,” katanya.

Wong yang menang kerusi Padungan dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-11 pada tahun 2016 berkata semasa pemerintahan 22 bulan di bawah Pakatan Harapan, apa yang dikatakan di hadapan rakyat dan apa yang DAP janjikan kepada rakyat hanyalah sia-sia.

Beliau berkata ketika DAP adalah pembangkang, mereka telah melancarkan banyak serangan politik dan terus melakukannya ketika mereka menjadi sebahagian daripada gabungan pemerintah.

“Politik Sarawak memerlukan tindakan positif untuk melihat negeri Sarawak terus melangkah ke hadapan,” katanya.

Memandangkan beliau telah terpilih sebagai ADUN Padungan di bawah tiket DAP, Wong berkata beliau akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat DAP untuk kawasan itu sehingga tempohnya berakhir.

“Saya tidak mempunyai rancangan untuk menyertai parti politik lain dan tidak akan bertanding dalam pilihan raya dalam waktu terdekat. Saya mahu memberi tumpuan dalam bidang guaman dan beri lebih banyak masa kepada keluarga… saya tidak berhajat untuk mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya negeri akan datang,” kata Wong dan turut melepaskan jawatannya sebagai Naib Pengerusi DAP Sarawak susulan peletakan jawatannya.

Setakat ini, pemimpin DAP Sarawak masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung peletakan jawatannya.- BERNAMA

Tiada ulasan: