Khamis, 2 Julai 2020

KDN haramkan buku dengan karya seni mirip jata negara

Buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia’
dengan penghias muka depan mempamerkan karya seni mirip jata negara yang
didakwa diubah suai. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku bertajuk “Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia” yang muka depannya mempunyai karya seni didakwa menghina jata negara.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata pengharaman itu dibuat berdasarkan Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) 2020.

“Pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan yang diperihalkan dalam jadual yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan, menggemparkan fikiran orang ramai, berlawanan mana-mana undang-undang dan memudaratkan kepentingan negara dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia,” menurut warta perintah larangan itu.

Semalam, Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman menyerbu sebuah syarikat penerbitan buku di Petaling Jaya dan merampas 313 naskhah buku itu.

Polis berkata, 32 laporan diterima berhubung kes itu dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Kulit buku itu mempamerkan satu karya seni mirip jata negara yang didakwa diubah suai.

Karya seni itu mengandungi seorang kanak-kanak bogel di atas bulan dan bintang, bentuk 2 harimau diubah suai dan seekor buaya di bahagian bawahnya.

Terdahulu, Lawyers for Liberty (LFL) mengkritik siasatan ke atas penerbit buku itu kerana ia adalah karya seni lama yang pernah dipamerkan di sebuah galeri di Kuala Lumpur seawal 2014 semasa pentadbiran Barisan Nasional.

Tiada ulasan: