Sabtu, 4 Julai 2020

Inilah kuasa rakyat, kejayaan PRK Chini kejayaan bersama – Najib

KEMENANGAN calon Barisan Nasional Mohd Sharim Md Zain pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini disifatkan sebagai membawa isi hati dan mesej daripada rakyat.

Menurut bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kemenangan yang dibantu oleh rakan-rakan dalam Perikatan Nasional itu jelas menunjukkan kuasa rakyat.

“Pelbagai perkara dalam pertimbangan sebelum memangkah di kertas undi. Prestasi lepas, isu semasa dan jaminan masa depan. Ya, inilah dia kuasa rakyat.

“Bagi kita, pilihan raya bagaikan satu temuduga besar. Kita bawa rekod pencapaian, kita jelaskan perjuangan semasa, kita bentangkan masa depan yang akan diusahakan. Rekod dan sumbangan Barisan Nasional jelas. Pembangunan dan kebajikan,” kata Najib.

Jelas Najib, kemenangan PRK DUN Chini juga menunjukkan Muafakat Nasional iaitu kerjasama antara Pas dan komponen BN iaitu UMNO, MIC dan MCA semakin menjadi pilihan rakyat.

Malah Najib juga menegaskan, kejayaan BN turut disumbangkan dengan sokongan Presiden dan Pemangku Pengerusi Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, kepimpinan dan seluruh akar umbi Bersatu di Pekan, Pahang.

“Kepada rakan-rakan kita dari PAS. Presiden Tuan Guru Datuk Seri Hadi Awang, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan, seluruh barisan kepimpinan PAS serta ahli-ahli PAS.

“Kejayaan di Chini adalah kejayaan yang kita capai bersama. Tanpa sumbangan tenaga, masa dan sokongan saudara-saudari, tidak mungkin akan begitu lancar dan berjaya.

“Ditambah pula kali ini dengan sokongan Presiden dan Pemangku Pengerusi PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, pemimpin-pemimpin kanan PPBM dan seluruh akar umbi di Pekan,” kata Najib.

Mohd. Sharim memperoleh 13,872 undi mengatasi dua calon Bebas iaitu Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin (1,222 undi) dan Mohd Shukri Mohd Ramli (137 undi).

Mohd. Sharim menang dengan majoriti besar 12,650 undi selepas semua 67 kotak undi dikira.

Ini adalah kemenangan pertama Barisan Nasiona dalam pilihan raya selepas membentuk Kerajaan Persekutuan dengan gabungan parti lain dalam Perikatan Nasional pada Mac lalu.

Kemenangan PRK Chini juga merupakan kemenangan keenam berturut-turut BN selepas kejayaan di PRK Cameron Highlands,PRK Semenyih, PRK Rantau, PRK Tanjung Piai dan PRK Kimanis.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, penyandang kerusi itu Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun dari Barisan Nasional menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi.

“Legasi Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun akan kita teruskan. Terima kasih kerana memberikan keyakinan sekali lagi kepada Barisan Nasional.

“Terima kasih kerana memberikan peluang kepada Mohd Sharim Md Zain untuk menjadi wakil rakyat DUN Chini. Saya yakin Mohd Sharim akan berkhidmat dengan penuh tanggungjawab dan cemerlang.

“Rakyat telah bersuara. Selangkah demi selangkah. Satu demi satu kemenangan rakyat. Hidup rakyat! Hidup rakyat! Hidup rakyat!” kata Najib.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian Abu Bakar 60, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-11.

Beliau menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain dari PKR sekadar memperoleh 1,065 undi.-SM

Tiada ulasan: