Sabtu, 4 Julai 2020

PAS 'ada ramai calon layak' tapi tetap sokong Muhyiddin jadi PM

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

PAS mengulangi pendirian parti itu - bersama Umno - untuk menyokong agar Muhyiddin Yassin terus menjadi perdana menteri selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Menegaskan bahawa "kita tidak tamak" dan ada ramai calon lain, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sokongan yang diberikan itu dibuat kerana Muhyiddin diterima rakyat.

“Sokong Muhyiddin Yassin adalah keputusan Muafakat Nasional. Kita mendukung beliau dan kita tidak tamak.

“Kita ada calon-calon (perdana menteri) lain, ramai. Tetapi apa yang lebih penting Muhyiddin Yassin diterima rakyat.

“Apa yang beliau buat setakat ini sangat baik untuk negara, jadi kita teruskan,” katanya di Alor Setar seperti dipetik The Malaysian Insight hari ini.

Sebelum ini Umno juga menyatakan hal sama, iaitu menyokong Muhyiddin sebagai calon perdana menteri bagi menghadapi PRU ke-15 yang mesti diadakan pada pertengahan 2023.

Penegasan itu dibuat Setiausaha Bersama Muafakat Nasional, Annuar Musa

Ia mengiringi kenyataan terbuka dibuat Muhyiddin - yang juga presiden Bersatu - selepas beliau mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi Perikatan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak.

Pertemuan tetap diteruskan

Umno diwakili presidennya, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun beberapa pemimpin kanan Umno yang lain dilihat bersikap agak kritikal - walaupun berlapik - semasa menangani isu berkenaan. Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, misalnya meminta Umno membincangkan pendirian tersebut secara dalaman terlebih dulu.

Malam bekas menteri besar Johor itu membariskan beberapa nama yang dianggap layak serta memiliki kewibawaan, termasuk Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Khaled bagaimanapun tidak menyebut nama Ahmad Zahid. Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, pula memberitahu Malaysiakini beliau akan menemui Ahmad Zahid untuk mendapatkan penjelasan berhubung pendirian tersebut.

Sementara itu, Tuan Ibrahim turut menjelaskan kemungkinan Bersatu menyertai PN - sebuah entiti yang setakat ini belum didaftarkan secara rasmi.

Menteri Alam Sekitar dan Air uitu berkata isu tersebut masih dibincangkan dalam jawatankuasa rundingan parti.

“Kita dalam perbincangan di dalam jawatankuasa rundingan. Ada pertemuan baru-baru ini dalam mesyuarat presiden.

“Pertemuan akan tetap diteruskan,” katanya.

Muafakat Nasional adalah kerjasama politik antara Umno dan PAS yang dimeterai Sept tahun lalu, setelah kedua-dua parti itu menjalin kerjasama erat selepas kalah dalam PRU-14.

Sebelum ini juga, beberapa pemimpin Umno telah mengeluarkan kenyataan bahawa Umno akan berdepan PRU ke-15 bersama rakan Muafakat Nasional.

Kerjasama dalam PN pula hanya akan dipertahankan sehingga PRU ke-15 sahaja.

Tiada ulasan: