Isnin, 13 Julai 2020

Anwar kembali jawat ketua pembangkang Dewan

Anwar Ibrahim hadir di sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Anwar Ibrahim disahkan menjadi ketua pembangkang baru kerana memiliki sokongan majoriti ahli Parlimen pembangkang, kata Speaker, Mohamad Ariff Md Yusof sebaik saja Dewan Rakyat bersidang semula hari ini.

“Berdasarkan maklum balas yang saya terima, saya berpuas hati Anwar mempunyai sokongan ahli pembangkang untuk dilantik sebagai ketua pembangkang.”

Ariff turut mengumumkan aturan tempat duduk baru di Dewan Rakyat bagi mengelakkan penularan Covid-19, di mana 87 ahli Parlimen berusia 60 tahun ke atas dan termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi.

Dalam aturan baru itu, hanya 174 ahli Parlimen ditempatkan dalam dewan dengan jarak 1m, manakala ahli Parlimen yang menyokong kerajaan serta wakil rakyat bebas akan duduk di galeri awam.

Sebahagian wakil rakyat pembangkang turut ditempatkan di galeri pegawai.

Ariff memberi jaminan ahli Parlimen yang duduk di kawasan lain boleh menggunakan mikrofon yang disediakan atau ke tempat yang dikhaskan untuk bertanya soalan atau berbahas.

Anwar kemudiannya menggesa Ariff untuk memasang mikrofon sementara supaya ahli Parlimen yang duduk di galeri awam dan pegawai boleh didengari.

Bung Moktar Radin (PN-Kinabatangan) bersetuju dengan berkata, ahli Parlimen yang duduk di galeri awam mungkin tersandung dan terjatuh ketika menuju ke mikrofon.

Bagaimanapun, Ariff berkata, Parlimen berusaha melaksanakan norma baru untuk membendung penularan Covid-19.

Ahli Parlimen turut dimaklumkan Dewan Negara sudah meluluskan undang-undang anti-berita palsu tanpa sebarang pindaan.

Akta kontroversi itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 6 tahun dan denda sehingga RM500,000 ke atas individu yang disabitkan bersalah menyebarkan berita palsu.

Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019 diluluskan Ogos 2018, tetapi ditolak Dewan Negara lewat tahun lalu.

Tiada ulasan: